Bandar Riyadh, Arab Saudi

RIYADH – Kerajaan Arab Saudi berhasrat untuk membuka panggung wayang dan sebuah pusat teater bertaraf dunia yang dikatakan 99 peratus setaraf di New York dan London dalam usaha untuk “menyelamatkan” suku daripada AS$20 bilion yang dibelanjakan rakyatnya di luar negara untuk menonton pertunjukan dan melawat taman tema di Dubai atau negara-negara lain.

Dalam temubual dengan Reuters, Pengerusi Lembaga Hiburan Awamnya, Ahmed Al-Khatib berkata, pihak konservatif pastinya akan mengkritik reformasi tersebut namun mereka perlu belajar daripada rakyat Arab Saudi yang kebanyakannya berusia di bawah 30 tahun yang mahukan perubahan.

“Selepas beberapa dekad menjalani budaya konservatif, perubahan seperti pastinya tidak mudah dan pantas,” katanya.

Arab Saudi pernah memiliki panggung wayang pada sekitar 1970an tetapi pihak berkuasa menasihatkan supaya ianya ditutup sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran agama di seluruh tanah Arab pada waktu tersebut.

Setakat ini, konsert-konsert telah mula diadakan tahun ini namun panggung wayang masih diharamkan.

Timbalan Putera Mahkota, Muhammed Salman pernah berkata, beliau mensasarkan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengubah gaya hidup di bawah tempurung masyarakat Arab kepada gaya hidup yang lebih terbuka.

“Kami yakin akan memenangi hujah ini. Ada rakyat Arab yang liberal ada yang konservatif tetapi majoriti adalah sederhana.

“Mereka pergi melancong, menonton konsert dan saya mengambil kira segmen pertengahan yang merangkumi 80 peratus populasi,” katanya sambil menambah golongan konservatif yang tidak mahu terlibat boleh duduk di rumah sahaja.

Pelan hiburan secara amnya didokong oleh ekonomi.

Dengan harga minyak yang rendah, pihak berkuasa memulakan program reformasi untuk mempelbagaikan ekonomi mereka selain membuka sektor-sektor baharu untuk menggaji golongan muda.

Pihak kerajaan telah melantik Boston Consulting Group untuk mengenal pasti lokasi-lokasi untuk dibangunkan taman dan pusat teater dalam projek yang dibiayai swasta dan kerajaan.

Menurut Khateeb, aktiviti hiburan telah membuka 20,000 pekerjaan setakat ini walaupun hanya dimulakan sejak tujuh bulan lalu dan dijangka boleh melebihi sasaran yang ditetapkan pada akhir tahun lepas di dalam Wawasan 2030.

Beliau menjangkakan Arab Saudi akan membelanjakan tiga kali ganda dalam hiburan kepada lapan atau sembilan peratus pada 2030.-MalaysiaGazette