Mustafar Ali (kanan) membuat pemeriksaan terhadap warga asing tanpa dokumen sah yang berjaya ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Beli Belah Pavilion, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL 28 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen tidak akan sesekali memanjangkan tempoh memproses pendaftaran ‘enforcement card’ (E-Kad) oleh majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tempoh yang diberikan bermula 15 Febuari lalu sehingga Jun ini adalah mencukupi berikutan proses pendaftaran E-Kad tidak mengambil masa yang lama dan ia percuma.

“Saya tidak akan memanjangkan tempoh ini.

“Bermula 1 Julai 2017 nanti, kita akan luaskan gerak-gempur dan majikan yang didapati tidak mendaftarkan pekerjanya akan didakwa kerana mereka melindungi PATI ini termasuk membenarkan mereka menyalahgunakan pas pekerja mereka,” kata Mustafar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan operasi bersepadu di pusat beli belah Pavilion di ibu negara lewat malam tadi.

Turut bersama-sama dalam operasi berkenaan adalah agensi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas mengenai operasi berkenaan, Mustafar berkata, terdapat majikan yang masih lagi berdegil enggan mendaftarkan pekerja mereka dengan membuat pelbagai kesalahan.

Antaranya tempoh pas lawatan tamat, menyalahgunakan pengenalan diri bagi sektor pekerjaan kad dan salah guna pas pelajar.

“Seramai 318 orang diperiksa di mana 211 ditahan atas pelbagai kesalahan, misalnya ada pelajar yang guna pas pelajar tetapi bekerja. Kalau pelajar dibenarkan bekerja tetapi dalam masa tempoh tertentu, tetapi mereka ini seolah kerja sepenuh masa, tak pergi ke kolej. Kita akan siasat kolej mereka.

“Selain itu, tempoh pas lawatan yang telah tamat, bekerja tempat lain, tidak bekerja tempat didaftarkan tetapi bekerja di premis yang lain seperti sektor yang lain daripada E-Kad. E-kad pembinaan bekerja di restoran, ini kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan 1963,” katanya.

Pecahan PATI yang ditahan di dalam operasi berkenaan, 70 peratus adalah warga Bangladesh, Nepal, Indonesia, Myanmar dan Filipina.

Sejak 15 Febuari lalu, PATI yang telah mendaftarkan E-Kad adalah seramai 68,580 orang daripada 73,881 pemohon.

Manakala hanya 11,103 majikan yang telah mendaftar pekerja mereka di bawah E-Kad.

“Majikan ramai yang tidak memilih peluang ini, hampir 1,500 orang PATI telah diambil tindakan semalam hingga hari ini, itu berdasarkan kapasiti operasi yang minimum,  kita boleh buat lebih besar lagi.

“Tetapi sejak 1 Januari 2017 sehingga 25 April seramai 14,787 orang telah ditangkap dan 53,644 orang yang diperiksa. Suku daripadanya telah diusir ke negara masing-masing, selepas ditahan di depoh tahanan,” katanya – Malaysia Gazette.