Muhammad Farid Saad

PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad mempersoal dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan mentadbir negeri ini seperti sebuah entiti perniagaan untuk membuat keuntungan saban tahun.

Sambil merujuk kepada kenaikan kadar surcaj pemuliharaan air (PSA) baru-baru ini, ADUN Pulau Betong itu berkata, DAP mengaut keuntungan besar menerusi pelbagai dasar penjualan seperti dilaksana sebuah syarikat perniagaan.

Malah, sebelum ini juga, kata beliau, DAP telah menjual beratus-ratus hektar tanah kerajaan negeri kepada pemaju swasta untuk dibangunkan dengan projek mewah dan elit yang hanya menguntungkan golongan kaya.

“Air Sungai Muda pun dijual kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), akhirnya rakyat juga yang terpaksa membayar semua ini supaya kerajaan negeri boleh membuat untung,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Muhammad Farid, sepanjang 15 tahun (1993-2008) di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), tarif atau surcaj air di negeri ini tidak pernah walau sekali pun dinaikkan.

Namun, katanya, PBAPP ketika itu masih mampu menjana keuntungan saban tahun sekali gus menunjukkan satu kejayaan dalam mengurus tadbir sebuah syarikat bekalan air bersih ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN.

Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas 2008 juga, ujar beliau, mewarisi satu perkhidmatan bekalan air atau syarikat bekalan air yang sudah dibangunkan dan diuruskan dengan bijak serta berhemah oleh kerajaan BN.

“Tarif air di Pulau Pinang yang dikatakan terendah dalam negara bukan dicapai selepas 2008 atau selepas DAP menjadi kerajaan negeri.

“Penduduk negeri ini juga telah menikmati tarif air yang terendah dan kualiti air bersih yang terbaik dalam negara daripada PBAPP sejak era pemerintahan kerajaan BN lagi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan alasan jumlah penggunaan air yang tinggi oleh 25 peratus pengguna di negeri untuk terus menaikkan kadar surcaj dan tarif air.

Kata beliau, alasan itu membuatkan penduduk negeri ini tertanya-tanya adakah mereka bakal berdepan kenaikan secara berkala sekiranya kerajaan negeri terus gagal mengurangkan kadar penggunaan air di negeri ini pada masa depan.

“Mana program atau kempen yang dilakukan oleh PBAPP atau Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mendidik rakyat menggunakan air secara berhemah sebelum mengambil keputusan menghukum mereka dengan kenaikan kadar surcaj dan tarif air?” katanya. – MalaysiaGazette