Abdul Hadi melihat proses pengundi melalui e-Undi

 

ALOR SETAR – Kira-kira 1,200 perwakilan Pas seluruh negara membuang undi petang ini untuk memilih tiga Naib Presiden dan barisan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat baharu bagi penggal 2017-2019.

Bezanya, semua perwakilan ini tidak lagi membuang undi melalui kertas undi, sebaliknya menggunakan sistem baharu yang diperkenalkan iaitu e-Undi.

Pembaharuan ini selaras dengan hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, mahu membawa perubahan dalam pentadbirannya supaya lebih maju dan kehadapan.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, pelaksanaan sistem e-Undi dikendalikan pakat teknologi maklumat (IT) dari Jabatan IT Pas (JITP) dengan menjadikan pemilihan hari ini sebagai ujian.

“Nampaknya, proses ini tidak memberi masalah kepada perwakilan untuk membuat pemilihan menerusi kaedah baharu,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette selepas menyaksikan proses pembuangan undi di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar, petang ini.

Abdul Hadi turut memerhati proses e-Undi menerusi komputer yang disediakan JITP di bilik khas yang disediakan untuk jawatankuasa pengiraan undi.

Ditanya mengenai keputusan, beliau berkata, nama Naib Presiden dan AJK baharu akan diumumkan esok. – MalaysiaGazette