Kejadian dikatakan berlaku apabila pelajar melakukan aktiviti melalui trek berair pada paras peha, malangnya tiga daripada 120 pelajar terlibat tersasar ke laluan yang dalam lalu lemas. - Foto JBPM Sabah

KOTA KINABALU – Tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Putatan ditemukan meninggal dunia akibat lemas semasa menjalani perkhemahan kem kepimpinan di sebuah resort di Membakut, Beaufort di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) Beaufort, Runzee Syamree Ab Thani  dalam satu kenyataan akhbar berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Hafiz Hamizan Abdul Rahman,16, Danial Norman Norisham,16, dan  Quzaimi Jakaria, 17.

Astro Awani melaporkan, kejadian dikatakan berlaku apabila pelajar melakukan aktiviti melalui trek berair pada paras peha, malangnya tiga daripada 120 pelajar terlibat tersasar ke laluan yang dalam lalu lemas.

Perkhemahan tersebut melibatkan 30 orang guru namun JBPM tidak menerima sebarang makluman mengenai aktiviti tersebut dari pihak sekolah.

Runzee berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.41 pagi.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital berhampiran sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian dan ketiga-tiga pelajar disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pasukan bomba seterusnya membuat pemantauan di lokasi kejadian untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat, katanya lagi.