MUNICH – Bayern Munich tidak perlu menunggu hingga perlawanan terakhir untuk menjulang trofi Bundesliga selepas menundukkan Wolfsburg 6-0, awal pag tadi.

Berbekal baki tiga perlawanan, anak buah Carlo Ancelotti itu kini mendahului dengan 73 mata manakala RB Leipzig menduduki tempat kedua berbekalkan 63 mata.

Impian pencabar terdekat itu musnah selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Ingolstadt dalam perlawanan berasingan.

“Kami berjaya melakukannya sekali lagi musim ini dan satu keputusan yang luar biasa,” kata kapten Bayern, Philip Lahm yang akan bersara selepas ini.

Dalam perlawanan itu, penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski menjaringkan dua gol pada perlawanan itu menjadikan keseluruhan golnya kepada 28.

Empat gol lain disumbangkan David Alaba, Thomas Mueller, Arjen Robben dan Joshua Kimmich.

The Bavarian berjaya menebus kekecewaan selepas tewas kepada Borussia Dortmund  pada aksi separuh akhir Piala Jerman dan disingkirkan Real Madrid dari pentas Liga Juara-Juara.

Malah Bayern turut tewas dalam dua aksi liga dengan lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Bayern turut mencipta keajaiban apabila masih berupaya menjaringkan tiga gol walaupun hanya beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas Luiz Gustavo diperintah keluar padang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge berkata, ia sesuatu menakjubkan apabila memenangi liga buat kali kelima berturut-turut. – MalaysiaGazette