KUALA LUMPUR  – Bursa Malaysia dijangka meningkat pada minggu depan, kata peniaga.

Katanya, berdasarkan prestasi penutup pasaran pada Jumaat, kuasa beli lebih besar berbanding tekanan jualan, dan terdapat kecenderungan bagi bursa tempatan untuk meningkat lagi dan meneruskan momentum peningkatannya pada minggu depan.

Beliau berkata, aktiviti pengambilan untung yang baik dilihat dengan peniaga dilaporkan mengurangkan pegangan menjelang cuti hujung minggu yang panjang, bagaimanapun saham wajaran tinggi yang utama bertahan dengan baik.

“Jika Wall Street mencatat prestasi semalaman yang baik, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan bermula tinggi pada Selasa,” katanya.

Pasaran akan ditutup pada Isnin sempena cuti Hari Pekerja.

Sementara itu, Maybank Investment Bank, dalam nota penyelidikannya, mengekalkan jangkaan bahawa FBM KLCI dijangka diniagakan antara 1,760 dan 1,775 dalam masa terdekat, dengan sokongan penurunan pada 1,729 dan 1,715.

Bagi minggu baru berakhir ini, minggu dagangan yang pendek (pasaran ditutup pada Isnin sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15) bursa tempatan mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street.

Dana asing turut dilaporkan memasuki bursa tempatan. Selepas empat sesi peningkatan berturut-turut dalam kaunter berkaitan indeks, pasaran berhenti seketika pada Khamis, dan berupaya ditutup tinggi pada Jumaat.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI naik 12.01 mata kepada 1,768.06 daripada 1,756.05 dan disokong oleh belian dalam kaunter berkaitan indeks, dan saham mewah terpilih, terutamanya saham patuh Syariah dan berkaitan kewangan.

Indeks FBM Emas meningkat 140.94 mata kepada 12,631.52, Indeks FBMT 100 naik 133.04 mata kepada 12,259.26, Indeks FBM Emas Syariah menokok 124.43 mata kepada 12,972.49, FBM 70 melonjak 350.19 mata kepada 15,080.97, dan FBM Ace menambah 84.04 mata kepada 6,242.16.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 292.59 mata kepada 16,301.17, Indeks Perladangan meningkat 70.07 mata kepada 8,097.34, manakala Indeks Perusahaan menokok 9.61 mata kepada 3,219.17.

Jumlah dagangan bagi minggu ini susut kepada 13.76 bilion unit bernilai RM11.90 bilion daripada 14.29 bilion unit bernilai RM11.31 bilion dicatatkan pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 8.93 bilion saham bernilai RM11.19 bilion daripada 9.85 bilion saham bernilai RM10.65 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.35 bilion unit bernilai RM146.6 juta daripada 893.88 juta unit bernilai RM112.2 juta pada minggu lepas.

Pasaran ACE susut kepada 3.41 bilion saham bernilai RM564.78 juta daripada 3.49 bilion saham bernilai RM536.93 juta diniagakan sebelum ini. – BERNAMA