Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 APRIL 2017

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) bakal mengemukakan permohonan mendaftarkan gabungan pembangkang itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya sudah memuktamadkan perlembagaan dan jawatan tertinggi dalam konsensus berkenaan.

“Kita akan menyerahkan permohonan (daftar) PH kepada ROS selepas Perlembagaan kita dipersetujui.

“Kita ada jawatan-jawatan akan dipenuhi oleh semua parti daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PH di sini petang tadi.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencabar agar PH didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dan melantik pengerusi supaya rakyat melihat dengan jelas hala tuju mereka.

Reezal Merican berkata, rakyat mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan sesuatu yang terbaik untuk mereka dan bukan sekadar menabur janji palsu.

Ditanya tentang logo PH, Wan Azizah berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan namun belum masa untuk didedahkan kepada umum.

“Kita akan memberikan sedikit pandangan terhadap penerimaan dalam kalangan orang awam terutamanya pengundi dan menjadi tarikan kerana politik negara mempunyai masa depan yang baik dan cerah.

“Apabila kita beri logo dan harapan baharu, saya fikir rakyat akan menerimanya dengan baik dan penting bagi kami untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Wan Azizah juga berkata, tempoh dua minggu diperlukan bagi meneliti dari segi prosedur undang-undang dan keperluan yang lengkap bagi mengelakkan timbul masalah dalam pendaftaran itu.

“Dulu pun masa kita nak daftar Keadilan pun sampai sekarang tidak diluluskan.

“Pendaftaran kali ini adalah pertama kali untuk PH,” jelasnya.- MalaysiaGazette