SHAH ALAM – Pelakon dan pengacara popular, Juliana Evans selamat melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan hatinya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, 29, di sini hari ini

Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 27, selamat diijabkabul bersama suaminya yang merupakan kerabat diraja Johor dan Selangor yang berusia 29 tahun itu dengan sekali lafaz di sini pada pukul 10.45 pagi tadi.

Pasangan itu telah dinikahkan oleh Imam Masjid, Istana Alam Shah Klang, Imam Paduka Tuan Mohd. Rasid Mahful.

Pelakon filem Bella dan Jamie itu tidak mengikat tali pertunangan sebelum membuat keputusan untuk hidup bersama.

pix juliana

Juliana ketika selepas majlis itu meluahkan kesyukuran kerana hari bersejarah ini berjalan lancar dengan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-belah pihak.

“Alhamdulillah, saya kini sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah. Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga. Dan saya berharap agar peminat terus mendoakan kebahagiaan kami,” jelas Juliana yang akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa selepas ini.

Mereka mula berkenalan sejak dua tahun lalu.

Majlis resepsi pasangan itu dijangka akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini. – MalaysiaGazette