BAGAN DATUK, 30 April --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) menyampaikan surat tawaran pendidikan kepada para pelajar pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

HUTAN MELINTANG – Kerajaan menyasarkan 50 peratus rakyat Malaysia memiliki diploma dan ijazah menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sasaran itu diyakini tercapai menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kepentingan generasi akan datang.

Katanya untuk mencapai mobiliti sosial secara vertikal dan memastikan tiada pihak yang ketinggalan, rakyat perlu mengetepikan berbezaan termasuk dari segi kaum, tetapi sebagai rakyat Malaysia.

Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan Anggota Parlimen Pasir yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 yang diilhamkan Najib itu bermatlamat memberi peluang kepada pelajar Bumiputera yang tercicir ke universiti atau kolej kemahiran untuk melanjutkan pelajaran.

Mengenai program itu, Ahmad Zahid berkata ia merupakan program luar biasa apabila hampir 60,000 tawaran pengajian dikeluarkan melebihi sasaran sebanyak 50,000.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang telah tamat pengajian dan telah mendapat pekerjaan untuk terus meningkatkan pengetahuan bagi menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi selain membantu keluarga.

“Ini bagi menentukan bahawa produktiviti dapat dipertingkatkan kerana 33 tahun akan datang pada tahun 2050, kita mahu melihat negara kita (berada di kedudukan) ke-20 terbaik di peringkat dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata program yang diadakan di 44 lokasi seluruh negara itu bukan agenda pilihan raya atau bermusim, sebaliknya untuk memastikan rakyat mendapat peluang terbaik daripada aspek pendidikan.

Timbalan perdana menteri turut memberi jaminan bahawa beliau dan perdana menteri akan terus menyokong penganjuran program itu.

“Ia (program) tidak bermusim, kami tetap turun padang dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Berterima kasihlah kepada perdana menteri, jangan berterima kasih dengan hanya bertepuk tangan sahaja tetapi terima kasih dengan memberi dukungan kepada kerajaan dan parti (UMNO dan BN pimpinan) perdana menteri,” katanya. – MalaysiaGazette