Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani (dua kiri) diiringi Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan, Mohd Talib Ubah (dua kanan) menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), Anita Cecelia Francis selepas merasmikan Program Larian Perpaduan dan Sepakat Komuniti 1 Malaysia Kampung Pandan 2017 di Dewan Komuniti Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 APRIL 2017

KUALA LUMPUR  – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menempelak Lim Kit Siang yang disindirnya sebagai seorang tidak tahu membaca dalam bahasa Inggeris me­n­genai penjelasannnya tentang penyelesaian luar kes secara timbang tara antara ­1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petro­leum Investment Company (IPIC).

Menteri Kewangan II itu berkata, Penasihat DAP itu perlu membaca dan memahami kenyataannya yang disiarkan di sebuah portal sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang mengelirukan.

“Awak cakap kepada Kit Siang, beliau tidak tahu baca ke di MalaysiaKini?

“Baca saya punya kenyataan di situ dan faham. Kecuali dia tidak faham Bahasa Inggeris. Itu sahaja,” katanya ringkas.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Larian Perpaduan Dan Sepakat Komuniti 1Malaysia di Taman Maluri, Kampung Pandan di sini hari ini.

Johari diminta mengulas kenyataan Kit Siang di sebuah portal yang mendakwa beliau dilihat menjauhkan diri daripada memberi penjelasan tentang tentang penyelesaian luar kes secara timbang tara antara 1MDB dan IPIC.

Selain dilihat cuba menjauhkan diri daripada penyelesaian timbang tara itu, Kit Siang mendakwa Johari sepatutnya menjadi pemain utama dan ‘penjaga akhir’ bagi isu kontroversi yang membelenggu selama ini.

Johari dalam penjelasan balasnya menafikan beliau bercanggah kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penyelesaian timbang tersebut. Beliau juga menuduh pembangkang, ahli parlimen terutamanya DAP Tony Pua, cuba untuk membuat konflik antara dirinya dan Perdana Menteri.

Sementara itu, mengulas program tersebut, Johari yang Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, perpaduan kaum menjadi elemen penting bagi kemajuan negara pada masa akan datang.

Program tersebut anjuran pertubuhan bukan kerajaan iaitu Komuniti 1Malaysia di bawah Jabatan Penerangan yang disertai lebih 300 peserta selain aktiviti lain seperti futsal yang turut diadakan. – MalaysiaGazette