Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pembatalan projek-projek pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang didakwa bukti kerajaan Pusat tiada wang mencukupi untuk membiayai sebarang pembangunan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa, ia juga memberi isyarat bahawa pembentangan belanjawan yang menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tinggi nyata tidak berasas.

“Kerajaan sengaja menyelewengkan pemikiran rakyat kerana terbukti sebelum pengumuman itu, kerajaan memang tidak dapat lagi memberikan peruntukan atas sebab keadaan kewangan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar didakwa membatalkan semua kelulusan projek BP 1, iaitu projek berskala kecil di peringkat PBT di semua kawasan Parlimen yang Barisan Nasional tewas.

Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Abu Bakar Johar dalam pekelilingnya berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat 9 Mac lalu, untuk penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017.

Fuziah juga berkata, Noh tiada hak membatalkan projek yang mempunyai kepentingan rakyat Malaysia dan ia perlu diberikan tanpa mengira fahaman politik selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Sekiranya Noh bertindak demikian beliau bukan sahaja menghukum majoriti pengundi yang memilih pembangkang sebagai wakil mereka akan tetapi tindakan itu juga menghukum pengundi BN di kawasan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun Noh berkata kerajaan tidak pernah membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen yang tidak dimenangi Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, kementeriannya hanya mengutamakan kawasan Parlimen serta DUN yang dikuasai BN terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu juga berkata, peruntukan untuk kementeriannya sangat terhad dan ia tidak boleh diagihkan kepada semua 222 kawasan Parlimen di negara ini.-MalaysiaGazette