KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniaga lebih kukuh berbanding dolar AS minggu depan berikutan sokongan belian, lebih-lebih lagi jika mata wang Amerika itu merosot disebabkan dasar Presiden Donald Trump.

Peniaga Kanan OANDA, Stephen Innes berkata, permintaan ringgit oleh pelabur adalah sederhana di tengah-tengah pengimbangan pasaran yang berusaha kekal di depan dan tengah.

Menurutnya, risiko harga minyak yang lebih rendah dijangka kekal tahun ini berikutan bekalan yang berterusan daripada pengeluar minyak shale.

“Minggu depan mungkin menawarkan cabaran dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS.

“Dengan kemungkinan hanya dua kenaikan kadar faedah AS tahun ini, saya tidak fikir ia akan menimbulkan kebimbangan kepada sentimen tempatan, terutama pasaran modal Malaysia, yang dikatakan terkurang nilai berbanding rakan-rakan ASEAN lain,” kata Innes.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit diniagakan lebih tinggi dan bergerak antara 4.3690 dan 4.3390 berbanding dolar AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit juga diniagakan lebih tinggi kepada 4.3390/3430 berbanding dolar AS daripada 4.3980/4000 minggu lepas.

Ia ditutup keseluruhannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain. Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1088/1121 daripada 3.1466/1485 minggu lalu dan naik berbanding yen kepada 3.8911/8958 daripada 4.0286/0315.

Ia menambah berbanding pound Britain kepada 5.6129/6198 daripada 5.6259/6298 Jumaat lepas, tetapi merosot berbanding euro kepada 4.7456/7508 daripada 4.7076/7111. – BERNAMA