Seorang Ahli PAS kelihatan di sebalik bendera PAS semasa Muktamar PAS kali ke 63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2017

ALOR SETAR – Tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR bukan lagi menjadi teka teki yang perlu dijawab.

Desakan demi desakan yang datang bertubi-tubi daripada kepimpinan dan ahli tiga sayap utama Pas yang mahu pucuk pimpinan memutuskan kerjasama politik itu cukup untuk mengetahui apa kesudahannya.

Hari ini, pada muktamar jawatankuasa utama Pas Pusat di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar, Kedah, Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) dan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) sebulat suara membentangkan usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Bagi Pas, mereka tidak memerlukan rakan yang mengkhianati kepercayaan yang dimeterai antara mereka selama ini, termasuk bersengkokol dengan parti terbesar bukan Islam.

Usul itu yang mendapat sokongan sebulan suara perwakilan dan pemerhati Pas dibaca oleh wakil DUPP, Zulkifli Ismail di hadapan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memberi penjelasan kepada hadiri kenapa Pas perlu memutuskan hubungan dengan PKR.

Antaranya, kata beliau, Pas dalam diam-diam telah dikhianati oleh rakan sendiri yang kemudian menubuhkan parti baharu.

“Dari awal tahaluf siyasi lagi kita menyatakan kita akan tetap setia dan mematuhi syarat yang dipersetujui.

“Tetapi kerana ada rakan dari tahaluf siyasi ini agenda tertentu, maka Pas terpaksa menarik diri.

“Kita tidak mahu bersengkokol dengan parti yang membawa fahaman sosialis,” katanya yang disambut laungan ‘Allahu Akbar’ beramai-ramai.

Pengerusi Tetap Jawatankuasa Pas Pusat, Hussin Ismail membaca tiga kali usul itu dan dijawab ‘setuju’ oleh semua perwakilan dan pemerhati yang hadir.

Kata putus kedudukan itu bagaimanapun akan dibuat oleh Majlis Syura Ulamak, sekurang-kurangnya dalam ucapan penangguhan presiden pagi esok. -MalaysiaGazette