ZURICH – Lionel Messi berjaya dalam rayuan mengenepikan hukuman penggantungan empat perlawanan bersama pasukan kebangsaan Argentina oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada April lalu.

Bintang Barcelona itu kini boleh mewakili negaranya dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Russa 2018.

Pemain berusia 29 tahun itu digantung empat perlawanan antarabangsa dan didenda 10,000 Franc kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan.

Messi didakwa melakukan kesalahan itu ketika menentang Chile pada aksi kelayakan Piala Dunia Rusia 2018 pada 23 Mac lalu.

Susulan daripada penggantungan itu, Messi tidak beraksi ketika Argentina tumpas 0-2 kepada Bolivia.

Menurut FIFA, bukti yang disediakan Jawatankuasa Disiplin tidak mencukupi untuk mensabitkan kesalahan pemain itu.

“Jawatankuasa Rayuan meneliti mengenai pentingnya menghormati setiap pegawai perlawanan.

“Setelah mendengar rayuan Messi menerusi Persatuan Bola Sepak Argentina, hujah dan bukti terhadap kesalahan pemain itu tidak cukup kukuh untuk disabitkan kesalahannya,” kata jawatankuasa tersebut. – MalaysiaGazette