Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) bersalaman dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Kerajaan bertegas akan menghantar pulang tiga warga Turki yang ditahan kerana disyaki cuba melakukan aktiviti keganasan di Malaysia ke negara asal mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak akan melayan permintaan ahli keluarga ketiga-tiga warga Turki itu yang mahu supaya suami mereka dihantar ke negara lain.

“Bukan tanggungjawab kita (hantar ke negara lain), kita harus menghantar pulang suspek warga Turki ke negara asal, kenapa kita mesti memberikan bebanan kepada negara lain.

“Mungkin isterinya tak tahu penglibatan suaminya yang kita tahan melibatkan tiga orang itu.

“Saya serahkan siasatan dan tindakan dalam kes ini kepada pihak polis dan polis akan melaksanakan tugasnya mengikut perundangan yang sedia ada untuk langkah penghantaran pulang,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan isteri tiga warga Turki itu yang mahu suami mereka dihantar ke negara lain, bukannya ke negara asalnya mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menjelaskan, isteri dan anak warga Turki itu tidak perlu khuatir terhadap tindakan kerajaan yang akan terus mengadakan rundingan dengan kedutaan Turki di Malaysia bagi memastikan ahli keluarga itu juga dihantar pulang ke negara asal.

“Jika isteri dan anak ketiga-tiga suspek tak bersalah, mereka akan dihantar pulang ke negara asal (Turki),”ujarnya.

Ditanya sama ada isteri dan anak tahanan warga Turki boleh menetap di negara ini, Ahmad Zahid berkata, mereka dibenarkan berada di Malaysia sekiranya layak, iaitu pemastautin tetap atau memegang visa kemasukan pelbagai. – MalaysiaGazette