KUALA LUMPUR – Penyanyi Nubhan, 30, kini bergelar bapa apabila isterinya, Afifah Hidayah Taufek, 27, selamat melahirkan bayi perempuan, malam tadi.

Anak sulung pasangan itu diberi nama Aafiya Kamilia.

Berita gembira itu dikongsi Nubhan menerusi laman Instagram miliknya hari ini

“Alhamdulillah kami sudah menjadi ibu dan ayah. Harapnya anak kami ini akan membawa bahagia dalam setiap langkah yang diatur. Indahnya rasa saat ini.

“Biar pernah diuji dengan keguguran awal tahun lalu, akhirnya rezeki kami tiba dengan kehadiran Aafiya. Doakan bayi kami sihat dan membesar dengan baik,” katanya yang turut memaklumkan ibu dan bayi dalam keadaan sihat.

Bayi seberat tiga kilogram itu dilahirkan secara normal di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan.

Peserta Akademi Fantasia (AF) musim enam itu dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015. – MalaysiaGazette