Seorang pekerja Stesen Minyak PETRON dilihat membetulkan pam minyak di Stesen Minyak PETRON, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017
KUALA LUMPUR – Penurunan harga minyak secara berturut-turut telah menyebabkan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian apabila stok lama yang dibeli dengan harga lebih tinggi perlu dijual dengan harga murah.
 
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, penurunan harga minyak secara berturut-turut menyebabkan lebih banyak pengusaha berdepan risiko gulung tikar.
 
Beliau berkata, stesen minyak tidak dapat menghabiskan stok dalam masa pendek kerana RON95 secara puratanya memerlukan empat hingga lima hari untuk dijual manakala RON97 memerlukan masa seminggu.
 
Keadaan itu, menurut Khairul Anuar, menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian stok minyak dan penjualan kepada orang ramai.
 
Khairul Annuar yang dihubungi China Press menyatakan perkara itu selepas harga minyak minggu ini mengalami kejatuhan 10 sen masing-masing untuk RON95 dan 97, serta 13 sen untuk diesel.
 
Menurut pengusaha, kadar keuntungan yang dinikmati melalui jualan minyak adalah sekitar 10 sen untuk setiap liter tanpa mengira kenaikan  atau kejatuhan harga minyak.
 
Menurut mereka, pergolakan harga minyak hanya menyebabkan pengusaha perlu menanggung perbezaan harga yang berlaku sebagai tambahan kepada kos operasi stesen minyak.