Foto Twitter Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil kekal berada di tahap terbaik dan langsung tidak terjejas selepas majlis sambutan UMNO ke-71 malam tadi.

Jaminan itu disuarakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter hari ini bersama gambar padang stadium itu yang kelihatan cantik dengan pemandangan hijau menawan.

Semalam, lebih 100,000 hadir pada sambutan UMNO ke-71 dan dianggarkan lebih 10,000 orang berada di atas padang yang ditutupi dengan penutup khas.

Seperti biasa, netizen sibuk berbunyi dan memberi pandangan negatif kepada UMNO yang menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil itu selepas baru siap dibaiki untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan kos menelan jutaan ringgit.

Namun, mungkin ramai tidak tahu terdapat teknologi khas yang digunakan iaitu penutup dikenali Terraplas Cover.

pix terraplas

Terraplas cover adalah teknologi perlindungan rumput padang yang diasaskan oleh Linebacker UK Ltd, sebuah syarikat United Kingdom pada 1991.

Pada mulanya syarikat ini mencipta Terraplas untuk Stadium Wembley Stadium dan teknologi itu telah diperluaskan hingga ke seluruh dunia.

Terraplas diperbuat daripada plastik high-density polyethylene (HDPE) yang kuat dan tahan lasak. Ini membolehkan Terraplas menahan beban yang kuat tanpa merosakkan rumput.

Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana rumput padang yang ditutup oleh Terraplas, bagaimana rumput mendapat air?

Pada waktu siang, haba cahaya matahari akan masuk melepasi Terraplas dan menarik kelembapan dari tanah untuk membentuk kanopi kelembapan di permukaan dalam Terraplas.

Pada waktu malam, kanopi kelembapan ini akan terkodensasi dan meresap ke tanah semula. Jadi rumput yang dilitupi Terraplas tak memerlukan air dari sumber luar.

Inilah yang mengekalkan kesihatan rumput padang untuk terjejas walaupun terdapat bebanan kuat di atasnya. – MalaysiaGazette