Seramai 140 pelajar dan empat pensyarah tiba di kawasan air terjun berkenaan pada jam 11.30 malam dan sepatutnya turun jam 5 pagi Sabtu.

KUALA LUMPUR – Dua jenazah mangsa pokok tumbang di Lata Charok, Janda Baik, Pahang selamat disemadikan.

Jenazah Muhamad Kamil Md. Shukri, 22, dikebumikan pada jam 8.15 malam di tanah perkuburan Islam Ibukota, Setapak manakala jenazah Noorain Mohtar, 23, disemadikan di tanah perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Sungai Besar, Selangor, petang semalam.

Menurut ibu Noorain, Aminah Rusmi, kali terakhir beliau bercakap dengan anaknya itu pada hari Khamis dan tidak percaya gadis berusia 23 tahun telah pergi buat selama-lamanya.

Ayah Noorain, Mohtar Mad Lani, 63, pula berharap Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menyiasat kejadian tersebut selain melihat semula modul program berkenaan.

Dalam pada itu, UiTM merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa sedih di atas insiden yang mengorbankan dua pelajarnya dan beberapa yang lain cedera.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus, Datuk Dr Hassan Said berkata, universiti itu telah menghubungi keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Tambah beliau, UiTM akan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa termasuk RM3,000 bagi membantu perbelanjaan pengkebumian.

“Pelajar-pelajar yang tidak cedera dibawa pulang semula ke kampus di Puncak Alam menggunakan empat bas,” katanya.-MalaysiaGazette