SHAH ALAM – Peminat Kedah dan Pahang boleh menarik nafas lega apabila harga tiket perlawanan akhir  di Stadium Shah Alam, Sabtu ini kekal dijual pada harga RM50 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 72,000 tiket, termasuklah 2,000 tiket untuk kanak-kanak.

Jelasnya Pahang dan Kedah akan mendapat agihan tiket yang sama rata yang menyaksikan masing-masing diperuntukkan 32,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak.

“Tiket-tiket akan dijual di Stadium Darul Makmur bagi penyokong Pahang dan Stadium Darul Aman untuk penyokong Kedah pada Khamis ini bermula pukul 10 pagi.

“FMLLP turut memperuntukkan sebanyak 6,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak secara dalam talian yang akan mula dijual pada Rabu dan penebusan tiket boleh dibuat di Stadium Malawati pada Khamis ini bermula pukul 12 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Ditanya mengenai harga tiket final yang dikatakan mahal, Kevin menjelaskan ia harga yang sama dan turut digunakan pada dua edisi final sebelum ini.

“Saya berpendapat harga ini adalah normal kerana ia membabitkan perlawanan akhir yang berprestij.

“Lagi pun harga tiket ini tidak mendapat bantahan daripada wakil kedua-dua pasukan dalam mesyuarat hari ini (semalam),” katanya. – MalaysiaGazette