PUTRAJAYA – Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana sini kecoh apabila pelakon Mat Over melempang penerbit, David Teo di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba apabila Mat Over meluru dari tempat duduk dan berjalan ke arah David dengan memberi amaran jangan bersikap kurang ajar di depan perdana menteri.
Sebelum itu, David mempertikai gaya moderator, Datuk Rosyam Noor yang dikatakan tidak adil kerana hanya memberi peluang kepada peserta di bahagian tertentu sahaja untuk bertanyakan soalan.
Rosyam pula meminta David jangan mempertikai caranya mengendalikan segmen sembang itu dan menasihat penerbit itu agar menjaga adab di depan perdana menteri.
Mat Over yang datang meluru tiba-tiba melempang David hingga terjatuh di atas tetamu lain termasuk Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob.
David dilihat cuba membalas tindakan Mat Over sebelum pihak polis dan beberapa rakan artis meleraikan pergaduhan itu sebelum kedua mereka dibawa keluar dari dewan.
Sebelum dialog berakhir, Mat Over danĀ David Teo dipanggil semula untuk berdamai dan mereka bersalaman di depan Najib. – MalaysiaGazette