SEMINGGU dua ini, di mana-mana tempat dan situasi, ramai bercakap pasal parti pak lebai dengan PKR. Pandangan mereka kepada kedua-dua parti itu tidak seperti dulu lagi.

Dulu kalau bercakap pasal parti pak lebai dan PKR semuanya indah. Semuanya baik. Semuanya molek waima, PKR kentut bau pati durian pun dikatakan wangi.

Sekarang persepsi mereka kepada parti pak lebai dan PKR dah berpusing 380 darjah. Tak ada lagi bicara yang indah-indah, puji yang baik-baik, kata yang molek-molek.

Semuanya bercakap yang buruk-buruk waiima, pak lebai pakai minyak atar semerbak kasturi pun dikatakan busuk.

Ini gara-gara tindakan pak lebai memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bermula dari usul pemimpin akar umbi pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini sehingga kepada keputusan muktamad pimpinan Majlis Syura Ulamak Pas di Kuala Lumpur Khamis lalu.

Bab putus tahaluf siyasi dengan rakan gabungan bukan perkara baru bagi parti pak lebai.

Pada tahun 2015, Pas berbalah dengan rakan sebantalnya DAP dan Jun tahun itu juga DAP tinggalkan Pakatan Rakyat (PR). Tinggallah pak lebai dengan PKR dalam PR Selangor.

DAP kemudian tubuh gabungan baharu yang dijenamakan Pakatan Harapan (PH).

Wujudlah dua entiti parti di Selangor iaitu PR (Pas dengan PKR) dan PH (DAP, PAN, PPBM dan PKR). Sangat mengelirukan, selain pelik.

Apa yang menjadi isu sehingga mengamit perbualan pelbagai pihak ialah kenapa Pas, selepas ‘bercerai’ dengan PKR masih lagi tinggal serumah? Nak kata pak lebai tak tahu hukum hakam, ramai dalam kalangan pemimpinnya bertaraf ulamak, tok guru, tuan guru dan ustaz.

DAP, parti majoriti orang kafir pun tahu hukum. Bila dah ‘bercerai’ mereka tidak lagi bersekedudukan dengan Pas. Mereka tahu itu salah. Mereka bina rumah baharu dan cari rakan kongsi baharu untuk teruskan kehidupan.

Tapi Pas tidak, sudah ‘bercerai’ dengan PKR masih kekal duduk bersama. Kenapa parti pak lebai tidak mahu tinggalkan PKR? Sedangkan mereka dah tak ada apa-apa hubungan politik lagi?

“Sebab Pas ada kepentingan diri… Pas dayus,” kata Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Bila diaju persoalan itu kepada pimpinan Pas, mereka jawab, “Pas tetap kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor kerana menghormati mandat rakyat”. Itulah jawapan Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi.

Apa yang dimaksudkan oleh Pas “mandat rakyat”? Setahu saya, pendirian Pas untuk bersama DAP dan PKR adalah untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan di Selangor.

Itu adalah syarat utama bagi mana-mana parti yang bergabung sehingga majoriti, boleh menjadi kerajaan. Parti yang jumlah kerusinya minoriti akan menjadi pembangkang di negeri itu.

Kini, Pas dah putus dengan PKR. Pas bukan lagi menyokong PR dan PH. Bermakna Pas secara automatiknya adalah pembangkang di Selangor, sama seperti Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas).

Adakah Pas membuat perkiraan, kalau memihak kepada BN Selangor pun mereka tidak dapat menjadi parti majoriti, lalu mengambil keputusan kekal dalam kerajaan negeri? Itu tidak betul. Itu politik songsang namanya.

Pas boleh menipu rakyat dengan alasan “demi mandat rakyat”, tetapi Pas tidak boleh menipu perundangan negeri.

Secara logiknya, jika Pas sudah putus kerjasama politik dengan parti yang membentuk kerajaan negeri, Pas bukan lagi sebuah parti dalam kerajaan.

Jadi, sebelum maruah parti pak lebai tercemar dengan pelbagai konklusi dan persepsi, adalah lebih baik mereka keluar dari rumah PR. Pergilah tinggal bersama BN dan Bebas dalam barisan pembangkang di Selangor. Itu lagi bermaruah. – MalaysiaGazette