Irwan Seregar Abdullah

KUALA LUMPUR – Proses permintaan untuk cadangan (RFP) Bandar Malaysia akan dilaksanakan segera dengan kriteria yang ketat.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata, kriteria itu termasuk penyertaan pihak yang berminat untuk memaparkan pengalaman, rekod prestasi baik, penyampaian yang pantas, penciptaan kandungan dan memiliki keupayaan untuk melaksanakan projek berskala besar itu.

“Semua pihak yang memiliki kriteria tersebut dijemput menyertai proses itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau baharu dilantik sebagai Pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia.

Menurut beliau, cadangan-cadangan dibuka sehingga 30 Jun ini dan keputusan akhir berhubung pemaju induk Bandar Malaysia akan diputuskan oleh TRX City dengan rundingan bersama Kementerian Kewangan pada 14 Julai ini.

Irwan berkata, lokasi Bandar Malaysia dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan.

Bandar Malaysai terletak di lokasi strategik bakal menjadi bandar kelas dunia termasuk KL Internet City – hab utama bagi Zon Perdagangan Bebas Digital dan mewujudkan pembangunan ikonik bagi memacu pertumbuhan pelancongan.

Ia juga menyediakan nukleus pengangkutan Malaysia yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura dengan kereta api laju, MRT, Komuter, Ekspres Rel dan 12 lebuh raya.

Mengulas pelantikannya itu, Irwan berkata, beliau komited memastikan penyampaian dan kemampaman pembangunan tersebut yang akan mengubah landskap ibu negara dan memberi manfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette