Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh berdasarkan sistem kewangannya yang berdaya tahan dan teguh walaupun dalam tempoh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh berdasarkan sistem kewangannya yang berdaya tahan dan teguh walaupun dalam tempoh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

KUALA LUMPUR – Institusi-institusi kewangan di negara ini telah menutup 238 akaun bank yang mencurigakan setakat 2 Mei lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, ia merupakan langkah tegas untuk memerangi skim kewangan haram di negara ini.

“Tindakan ini diambil kerana Bank Negara mengamalkan dasar tidak bertoleransi terhadap pengendali dan pelabur yang mengambil bahagian dalam aktiviti kewangan haram,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2017 di sini.

Daripada jumlah itu, 108 akaun didaftarkan di bawah amaran Bank Negara Malaysia berikutan aduan-aduan awam.

Menurut Muhammad, di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, mana-mana individu atau perniagaan yang terlibat dalam aktiviti kewangan haram boleh didenda sehingga RM50 juta dan dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pulangan pelaburan yang tidak munasabah.

“Pulangan bagi akaun tetap adalah sekitar 3.0 peratus dan unit amanah pula antara 5.0 hingga 6.0 peratus, ada juga yang menawarkan 6.0 hingga 7.0 peratus..

“Mana-mana tawaran pulangan melebihi kadar itu adalah tidak boleh diterima,” jelas beliau.

Muhammad berkata, akaun-akaun yang mempunyai tahap mencurigakan akan ditutup kerana simpanan seumpama itu tidak boleh berada dalam sistem perbankan negara.

Wang tersebut akan dipulangkan kepada pemilik akaun.

“Akaun wang yang mencurigakan itu hanya boleh dibekukan jika mendapat arahan mahkamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette