Muhammad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia tidak menolak akan memperkenalkan langkah-langkah lain bagi mengukuhkan pasaran kewangan Malaysia.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, ketika ini pihaknya sedang menganalisis dua langkah yang diperkenalkan pada Disember tahun 2016 dan 13 Mac lalu.

“Bank Negara sedang memantau pendekatan yang dilaksanakan ini berjalan dulu. Kami akan melihat hasil pendekatan-pendekatan.

“Jika perlu (pendekatan) lain, kita akan memperkenalkan yang baharu,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2017 di sini.

Muhammad berkata, ringgit menunjukkan kestabilan seiring dengan mata wang utama serantau, di tengah-tengah dolar Amerika Syarikat yang semakin lemah berpunca daripada ketidaktentuan dalam polisi pentadbiran kuasa besar itu.

Ringgit mengukuh sebanyak 4.0 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada 16 Mei lalu.

“Berikutan pengumuman langkah-langkah kestabilan pada Disember lalu dan 13 April lalu, ringgit dan pasaran pertukaran asing telah bertambah baik.

“Ini dapat dilihat dalam peningkatan pada semua petunjuk kecairan dan turun naik bagi pasaran pertukaran mata wang.

“Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa ketidaktentuan luaran masih berisiko menyebabkan turun naik kadar pertukaran yang lebih tinggi.

“Ketidaktentuan luaran termasuk normalisasi kadar faedah Amerika Syarikat, turun naik harga minyak global dan perkembangan geopolitik,” katanya. – MalaysiaGazette