Johari Abdul Ghani (dua kanan) memotong reben sebagai simbolik pelancaran sambil diperhatikan Mohamed Hassan Kamil (dua kiri) dan Yeim Kamari (kanan) pada Majlis Penyerahan Van Jenazah dari Takaful Malaysia kepada Surau At-Taqwa di Projek Perumahan Rakyat Jalan Jelatek, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – “Lama saya tunggu, banyak sudah permohonan dibuat. Kepada seorang hingga ke seorang Ahli Parlimen Titiwangsa, minta pada Datuk Johari baharu dapat,” kata Yeim Kamari dengan sebak.

Imam Surau At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) berkata, permohonan untuk mendapatkan sebuah van jenazah dibuat sejak tahun 1997 sehingga 2010 tapi pernah mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Titiwangsa.

Pengerusi Surau At-Taqwa, Yeim Kamari ketika ditemubual pada Majlis Penyerahan Van Jenazah dari Takaful Malaysia kepada Surau At-Taqwa di Projek Perumahan Rakyat Jalan Jelatek, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2017.

Yeim yang berucap pada majlis penerimaan van jenazah sumbangan Takaful Malaysia memberitahu, dalam tempoh itu kawasan perumahan itu telah melalui 189 kematian.

“Selama tempoh 20 tahun itu pelbagai kesukaran kami lalui untuk menguruskan jenazah kerana terpaksa meminjam kereta jenazah dari Masjid Dato’ Keramat bila berlaku kematian.

“Kalau kami di sini ada dua kes kematian, di sana ada dua kes juga, kami di sini terpaksa menunggu giliran,” katanya yang cukup sebak sehingga berhenti beberapa kali ketika berucap pada majlis penyerahan van jenazah itu.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kami.

Yeim berkata, beliau nekad untuk menulis surat kepada Johari bagi memohon bantuan van jenazah itu.

Katanya, dalam masa sebulan beliau telah menerima khabar berita tentang sumbangan tersebut.

Sementara itu, Johari ketika berucap berkata, beliau telah panjangkan permohonan Yeim yang mewakili 4,000 penduduk PPR Jalan Jelatek kepada Takaful Malaysia ketika Mohamed Hassan menemuinya baru-baru ini.

“Saya beritahu beliau, saya hanya peruntukan sebanyak RM70,000, bolehkah beliau menambah baki untuk membiayai kos pembelian van jenazah.

“Datuk Mohamed kata tidak mengapa Datuk, Takaful Malaysia akan sumbangkan semuanya,” kata Johari ketika berucap.

Lebih bermakna lagi apabila van jenazah yang dipercayai berharga kira-kira RM125,000 itu diberikan dengan kelengkapan penuh tanpa perlu diubah suai. – MalaysiaGazette