Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua kanan) menerima replika kunci daripada Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil (tengah) sambil diperhatikan Pengerusi Surau At-Taqwa, Yeim Kamari (kanan) pada Majlis Penyerahan Van Jenazah dari Takaful Malaysia kepada Surau At-Taqwa di Projek Perumahan Rakyat Jalan Jelatek, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh membenarkan kenaikan harga barang keperluan setiap kali syarikat-syarikat pengeluar tidak mampu menghadapi tekanan turun naik.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana jika kenaikan dibenarkan, ia akan menyumbang kepada kos sara hidup.

“Buat masa kini kita tidak boleh menaikkan lagi harga barangan keperluan asas. Sebab apa, kalau naik 11 sen, pekedai dan peniaga akan menaikkan harga minuman seperti harga segelas gula.

“Kesan terhadap pengguna kita perlu jaga,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan van jenazah di Flat PPR Jelatek di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan MSM Malaysia Holdings Berhad yang memohon kerajaan untuk menaikkan harga gula lagi selepas kenaikan 11 sen sekilogram pada awal tahun ini.

Baru-baru ini, MSM berkata, pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan untuk menaikkan harga gula sebanyak 29 sen lagi bagi memastikan keuntungan syarikat itu pada tahun ini.

Syarikat pengeluar gula itu berkata, kelemahan ringgit dan turun naik harga gula dunia mencabar kewangan syarikat tersebut.

MSM adalah anak syarikat milik Felda Global Ventures Berhad (FGV).

Johari berkata, beliau akan menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi membincangan perkara itu.

Kerajaan telah menaikkan harga gula sebanyak 11 sen sekilogram kepada RM2.95 sen pada 1 Mac lalu, walaupun awalnya MSM memohon kenaikan 40 sen.

“Setiap syarikat perlu tahu bagaimana mahu menyerap kenaikan kos,” katanya. – MalaysiaGazette