Basuki Tjahaja Purnama

JAKARTA – Bekas Gabenor Jakarta menggemparkan ibu negara Indonesia apabila menggugurkan rayuan terhadap hukuman penjara dua tahun kerana menghina Islam selepas beberapa minit rayuan difailkan.

Peguam bela Basuki Tjahaja Purnama mengaku terkejut dengan keputusan anak guamnya.

“Sebab rayuan ditarik balik tidak diketahui lagi,” kata peguamnya, Wayan Sudirta memberitahu Fairfax Media.

Basuki Tjahaja Purnama yang dikenali dengan nama Ahok dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas membuat kenyataan semasa kempen pilihan raya Gabenor Jakarta dan mahkamah mendapati beliau bersalah.

Dalam kenyataan yang dibuat, Ahok memberitahu nelayan bahawa mereka telah ditipu oleh musuh politiknya yang menggunakan ayat al-Quran untuk berhujah berhubung umat Islam tidak harus mempunyai pemimpin bukan Islam.

Beliau kemudiannya berulang kali meminta maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan.

Hukuman penjara dua tahun yang dikenakan lebih tinggi berbanding yang dicadangkan oleh pendakwa raya. – MalaysiaGazette