Azmin Ali

PETALING JAYA – Nasib Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor nampaknya selamat buat masa ini.

Ia ekoran mesyuarat Biro Politik PKR malam ini bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin mahu mengekalkan mereka lagi.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan timbalannya yang berpendapat kesemua Exco Pas itu masih menyokong dasar berasaskan Buku Jingga walapun Pas sudah menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Biro Politik PKR mengambil maklum penjelasan yang diberikan Mohamed Azmin.

“Walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan negeri Selangor dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan MB Selangor,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Biro Politik PKR juga bersetuju dengan pendekatan Mohamed Azmin untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri menjelang PRU-14 dan meneruskan mandat PRU-13, katanya.

Sebelum itu, PKR menunggu penjelasan mengenai nasib Exco dan wakil rakyat Pas di Selangor selepas Majlis Syura Ulama Pas Pusat memutuskan untuk tidak meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR.- MalaysiaGazette