Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Laporan Tahunan Transformasi Negara (NTP) di Dewan Agong Tuanku Cancelor UiTM Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 23 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempersoalkan bagaimana pembangkang mahu mencari tambahan hasil negara sebanyak RM42 bilion sekiranya mereka mahu memansuhkan GST.

Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun langkah tersebut dikritik hebat namun hasil negara sebenarnya berjaya ditambah sebanyak hasil kutipan GST bagi menampung kekurangan daripada hasil minyak yang merudum.

“Merujuk kepada perkara ini, bagaimanakah mungkin ada pihak di luar sana, yang bercakap merepek dan mengarut, dengan menipu rakyat kononnya mereka menjadi kerajaan, GST hendak di-zero-rated atau dihapuskan.

“Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada sumber manakah yang mereka hendak dapatkan RM42 bilion itu?” kata Najib semasa pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 di UiTM Shah Alam malam ini.

Sebelum tahun 2015, sebanyak 41 peratus daripada pendapatan negara datang daripada hasil minyak bagaimanapun senario itu berubah susulan kejatuhan harga minyak global.

Najib juga menegaskan kerajaan akan terus kekal melaksanakan GST.

“Demi kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara dan rakyat, kerajaan kekal dengan pendirian melaksanakan GST,” katanya.

Jelas Najib, hasil tambahan diperoleh negara itu digunakan banyak untuk dimanfaatkan oleh segenap rakyat Malaysia.

“Seandai kerajaan ini tidak cekal dan tabah, mana mungkin kita mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negara.

“Malah, macam mana tujuh juta rakyat nak menerima bantuan BR1M, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia terpaksa kita hapuskan, peruntukan untuk 35 kampus UiTM di seluruh Malaysia kena kita potong bajetnya barangkali subsidi dan bantuan perubatan untuk rakyat terpaksa ditarik balik, ramai orang juga akan hilang pekerjaan,” tegas Najib.

Beliau juga membidas rancangan pembangkang untuk menghapuskan GST sebagai tidak realistik.

“Ternyata perancangan pembangkang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, lagi memesongkan rakyat,” katanya.

Langkah melaksanakan GST menurut Najib adalah tepat pada masanya malah negara-negara Teluk (GCC) juga akan mengikut jejak untuk melaksanakan sistem cukai yang sama.

“Malah, GCC pun akan turu mengikut jejak bagi melaksanakan sistem cukai GST.

“Kesimpulannya, langkah pragmatik kerajaan dalam melaksanakan GST adalah tepat pada masa, wajar dan terserlah buktinya,” katanya. – MalaysiaGazette