Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Bukan senang mahu mengubah hati daripada tidak suka kepada suka sekelip mata.

Walaupun mulut berkata suka, dalam hati siapa yang tahu walaupun kepada mereka yang berpegang kepada konsep matlamat menghalalkan cara.

Insiden Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengangkat plakad menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-7 semasa Konvensyen PKR baru-baru ini cukup dilihat tidak selesa kepada bekas perdana menteri itu.

Dalam ramai-ramai mengangkat plakad itu Tun M dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz kelihatan janggal tidak berbuat demikian.

Umum mengetahui, Tun M dan Anwar merupakan seteru dalam politik sekian lama sehingga mengubah landskap politik tempatan.

Kalau diimbas ucapan masing-masing semasa menjadi musuh memang sukar mempercayai kedua-dua itu bakal menjadi rakan semula.

Bagi Tun M, demi kerjasama politik, PPBM bersetuju menyokong kempen membebaskan Anwar daripada penjara dan beliau pun menandatangani memorandum itu semasa konvensyen yang sama.

Itu tidak ada peliknya. Sebelum itu, Tun M pun sudah memakai badge Bebaskan Anwar.

Tun M juga sudah dua kali bertemu Anwar di mahkamah.

Walaupun pertemuan itu mendapat tentangan Otai Reformasi namun Anwar juga kelihatan bersedia berbaik dengan bekas bosnya demi survival politik masing-masing.

Namun belum pernah ada sepatah daripada mulut Tun M yang mengakui Anwar tidak bersalah dan menyesal memecat timbalannya itu pada tahun 1998.

Cuma beliau bersetuju untuk menyokong kempen membebaskan Anwar yang jika difikirkan semula bukan senang selepas proses undang-undang sendiri yang mendapati Anwar bersalah.

Sebarang usaha mengeluarkan Anwar sudah tentu memerlukan proses yang sama dan sudah tentu panjang dan lama.

Namun untuk bersetuju memilih Anwar sebagai bakal Perdana Menteri masih sukar kepada Mahathir.

Hendak pula keputusan itu dibuat secara impromtu sehingga beliau enggan mengulas mengenainya ketika diserbu wartawan.

Malah PPBM berpendapat memilih calon PM bukan keputusan PKR seorang ia mesti secara konsensus dalam PH.

Bagaimanapun, bagi pimpinan parti lain dalam PH mereka tidak janggal mengangkat plakad yang sama pada konvesnyen yang sama.

Sebenarnya mereka sudah lama memilih Anwar sebagai PM kerana ia sememangnya sudah lama diputuskan sejak zaman Pakatan Rakyat lagi.

Lantas bagi mengatasi rasa bersalah, seperti biasa, sayap pemuda digunakan untuk menegur dan keluarlah surat terbuka Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyindir PKR.

Anak muda itu tidak senang dengan cara PKR memerangkap pimpinan PPBM dalam konvensyen parti itu.

Menurutnya, siapa PM tidak sepenting proses merampas Putrajaya dan mahu semua parti-parti PH kena bersatu.

Apa pun keenganan Tun M mengiktiraf Anwar sebagai PM jelas membuatkannya tidak diterima sepenuh hati oleh rakan-rakan pembangkang lain.

Anwar bagi PH adalah kunci menaikkan semangat rakyat menyokong pembangkang walaupun tanpa Pas.

Keengenan Tun M seolah-olah membenarkan dakwaan sebelum itu yang beliau mahu orang lain menjadi PM dan berpakat dengan DAP bagi tujuan itu seperti dakwaan bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz.

Walaupun mereka menafikan namun penafian itu tidak memuaskan hati rakan-rakan pembangkang sebenarnya.

Malah sejak kebelakangan ini, Zaid Ibrahim yang secara jelas menyokong Tun M menjadi PM dilihat ‘suara rahsia’ kepimpinan DAP.

Bagi pembangkang terutama PKR mereka memerlukan pengakuan Tun M sendiri ‘membersihkan’ nama Anwar dan menjadi modal palih utuh dalam PRU-14.

Persoalannya, mampukan Tun M ‘menjilat semula ludah’ selama ini mendakwa Anwar tidak layak menjadi PM, juara sandiwara dan korup moral untuk menarik balik tuduhannya.

Apa pun tidak ada apa yang mustahil dalam politik.- MalaysiaGazette