Abd Latif Bandi

JOHOR BAHRU – Sebutan semula kes membabitkan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub ditetapkan pada 5 Julai ini.

Keputusan bagi menetapkan tarikh sebutan semula kes membabitkan kedua-dua individu itu diputuskan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim, Mohd. Fauzi Mohd. Nasir selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil, memohon mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula yang dicadangkan itu bagi memastikan dokumen lengkap dihantar.

Pada 19 April lalu, Abd Latif, 51 bersama Amir Shariffuddin, 44, mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta.

Semua kesalahan didakwa dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.

Amir Shariffuddin turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan. – MalaysiaGazette