Datuk Ida Suraya Mustapha adalah pengasas dan pemilik butik fesyen Bianco Mimosa.

KUALA LUMPUR – Bukan sedikit jumlah pelaburan yang dikeluarkan oleh Datuk Ida Suraya Mustapha. Jika dihitung sejak ia mula ditubuh pada tahun 2013, jumlahnya sudah mencecah RM6 juta.

Semuanya demi butik fesyen Bianco Mimosa yang kini tidak pernah gagal meraih perhatian ramai menerusi sentuhan busananya yang memukau.

Mengenali air tangan Bianco Mimosa itu sendiri, setiap rekaan telah menggunakan fabrik yang diimport khas dari Eropah terutama dari Itali.

Negara itu menjadi pilihan kerana banyak tempat pembuatan busana terkenal seperti Zuhair Murad, Elie Saab, Oscar dan lain-lain bagi mencetuskan rasa dan nuansa busana itu sendiri dalam definisi sebenar dan asli.

Kini, pengorbanan wanita berusia 46 tahun itu berbaloi apabila Bianco Mimosa akan membawa nama Malaysia ke pertunjukkan fesyen di New York, Amerik Syarikat pada September ini.

Antara rekaan Bianco Mimosa.

Bianco Mimosa merupakan antara empat jenama pereka fesyen terkemuka tanah air yang akan mewakili negara ke kota fesyen itu.

Ida dan tiga pereka fesyen akan menampilkan koleksi-koleksi hebat mereka dengan tema pilihan tersendiri sempena menjayakan Minggu Fesyen Couture New York.

Bagi anak kelahiran Kampung Tongkang Yard, Alor Setar di Kedah, dia tidak menyangka akhirnya nama Bianco Mimosa mampu terbang jauh ke luar negara.

Wanita yang turut memiliki karier sebagai jurutera ini memberitahu, sebanyak 12 koleksi busananya akan dipersembahkan yang bertemakan ‘A Tale of Tongkang Yard’.

“Penggemar jenama fesyen Bianco Mimosa sudah pasti mengetahui betapa elegan, mewah, unik, esklusif dan kemas sesuatu rekaan busana kami.

Antara rekaan Bianco Mimosa.

“Justeru, ‘A Tale of Tongkang Yard’ adalah tema susur galur latar belakang saya sebagai anak kampung sekali gus mencetuskan rona berbeza dan istimewa dalam sentuhan rekaan untuk koleksi baharu.

“Tentu sekali banyak unsur kejutan aka diterapkan dalam koleksi itu nanti bagi menunjukkan kekuatan Bianco Mimosa dalam misinya membawa jenama ini ke pentas antarabangsa setaraf dengan jenama busana berkelas tinggi luar negara.

“Pada masa masa, nilai ‘moden modesty’ akan diangkat untuk kaum wanita yang berhijab dalam pertunjukkan fesyen di New York itu kerana ia dilihat satu `trend’ pada masa kini.

“Apatah lagi, pasaran busana dalam paten penataan corak dan gaya muslimah di luar negara terutama di New York dilihat begitu memberangsangkan dan sudah semakin diterima baik oleh masyarakat luar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika sesi bersama media sempena koleksi Aidilfitri baru-baru ini.

Ida turut berjanji Bianco Mimosa tidak akan mengecewakan nama negara kerana akan menampilkan seleksi koleksi adi busana terbaharu untuk memenuhi citarasa wanita yang berkelas tinggi.

“Saya akan menggunakan 100 peratus teknik ‘couture’ dalam setiap rekaan, fabrik berkualiti dari Eropah.

“Setiap rekaan busana untuk persediaan ke pentas peragaan New York Couture Fashion Week mengambil masa enam bulan dan seramai 20 orang tenaga kerja akan terlibat,” katanya bersungguh-sungguh.

Koleksi rekaan untuk golongan lelaki yang elegan.

Sementara itu, Bianco Mimosa ditubuhkan pada 26 April 2013 dengan visi untuk menjadi salah sebuah butik fesyen paling berprestij di tanah air.

Nama itu menjadi pilihan sebagai jenama ini yang diambil daripada bahasa Itali yang menyaksikan Bianco membawa maksud putih (Houses Couture Atelier) manakala Mimosa pula adalah nama saintifik bagi tumbuhan semalu yang merupakan tumbuhan kesukaan Ida.

Koleksi pertamanya yang menggunakan bunga tekap telah dilancarkan pada September 2013 yang turut dihadiri oleh ramai barisan artis dan selebriti terkenal tempatan termasuk kehadiran wakil dari butik berprestij seperti Louis Vuitton, Versace dan Roberto Cavalli.

Petunjukan kedua yang pernah diadakan oleh Bianco Mimosa adalah pada 29 Jun 2014 yang menyaksikan Bianco Mimosa hadir dengan koleksi Mimosa Raya.

Dikenali butik fesyen yang turut menyediakan koleksi `ready to wear’, Bianco Mimosa turut mengambil inspirasi daripadapereka fesyen dari luar negara dan fabrik yang digunakan didatangkan khas daripada pelbagai lokasi di luar negara termasuk dari Itali, Perancis, United Kingdom (UK), Turki, Afrika Selatan, India, Vietnam dan pelbagai lagi.

Bianco Mimosa kini beroperasi di dua buah cawangan iaitu di Busana Mall, Kuala Lumpur dan juga Pusat Komersial TSB, Sungai Buloh, Selangor sebagai ibu pejabat. – MalaysiaGazette

Butik Bianco Mimosa terletak di Pusat Komersial TSB, Sungai Buloh, Selangor.