Sesi fotografi bersama Penyanyi, Aiman Tino selepas selesai Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Menjelang Ramadan ini sebelum menyambut Aidilfitri, seperti biasa golongan artis berebut-rebut tampil melancarkan koleksi pakaian mereka.

Baik lelaki mahu pun wanita, sama naik walaupun ada yang langsung tidak tahu tentang dunia fesyen.

Realitinya nama mereka seakan dipergunakan untuk melaris koleksi pakaian itu yang kebanyakan dihasilkan dengan kerjasama pereka fesyen atau usahawan lain.

Penyanyi remaja popular, Aiman Tino juga tidak terlepas melakukan perkara yang sama. Dia turut memperkenalkan koleksi kurta pada majlis pelancaran Qurta by Sweet Aiman Fashion UniverCity di sini semalam.

Qurta by Sweet Aiman Fashion University merupakan kerjasama antara syarikatnya, Sweet Aiman dan syarikat kosmetik, Wonder Glow Cosmetics Sdn. Bhd. (Wonder Glow).

Penyanyi, Aiman Tino membuat persembahan pada Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

Aiman berkata, idea menceburi bisnes itu timbul spontan apabila dia dan pengasas Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin duduk berbual pada bulan lalu.

“Bila Aiman lontar idea, Datuk bersetuju dan Aiman ada memberi sedikit idea dan konsep kurta itu.

“Aiman cakap hendak rekaan yang ringkas dan senang dipakai di mana-mana majlis nanti,” katanya yang pernah menyambut Hari Raya sebelum ini memakai kurta selain baju Melayu.

Namun yang menjadi persoalan apabila rekaan kurta nampak pendek dan seperti baju Melayu teluk belanga. Malah ada yang menyindir rekaan itu seperti baju kurung Kedah kerana kelihatan singkat bila dipakai.

Ryzal yang diajukan isu itu menegaskan baju kurta yang dipakai Aiman kelihatan singkat kerana penyanyi itu bertubuh kecil.

Katanya, kurta itu nanti akan nampak labuh jika si pemakainya memilih saiz yang sesuai bermula XS hingga XL.

“Lagi pun, rekaan itu agak singkat sebagai satu kelainan daripada kurta yang biasa terdapat di pasaran.

“Ia boleh dikatakan satu inovasi buat kurta kerana ia tampil urban dan hipster. Lebih menarik, ia adalah uniseks kerana boleh dipakai oleh golongan lelaki dan wanita,” katanya.

Pengasas Produk Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017.

Ryzal menambah, pihaknya menyasarkan jualan lebih 50,000 unit kurta sebelum menjelangnya Aidilfitri ini.

Busana itu boleh didapati 25 rangkaian pasaraya Mydin di seluruh negara pada harga RM79 selain butik Wonder Glow di Menara Mara di isni.

Pembeli yang bertuah juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM500,000 termasuk kereta Toyota, percutian ke Korea, motosikal Honda RS, telefon Samsung  S6 Edge dan LED TV menerusi peraduan yang dianjurkan.

Aiman sebelum ini turut memperkenalkan produk kecantikan, Sweet Aiman – MalaysiaGazette

Penyanyi, Aiman Tino bergambar bersama koleksi-koleksi baju yang diperagakan pada Majlis Pelancaran Kurta by Sweet Aiman dan Lagu Raya Aiman Tino di Menara Mara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 MEI 2017