Vinicius Junior

MADRID – Real Madrid sanggup berbelanja besar sebanyak €45 juta untuk mendapatkan Vinicius Junior dari kelab Brazil, Flamengo.

Real telah mengesahkan perjanjian itu ke atas pemain yang baharu berusia 16 tahun.

Los Blancos mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah bersetuju untuk memperoleh hak-haknya dari Julai 2018 apabila pemain itu berusia 18 tahun dan Junior kekal bersama Flamengo sehingga Julai 2019.

Junior diberi gelaran ‘The Next Neymar’ kerana dikatakan memiliki gaya permainan yang serupa dengan bintang negaranya, Neymar.

Pemain muda berbakat itu mula terkenal pada Mac 2017 ketika membantu Brazil memenangi Kejohanan Amerika Selatan B-17.

Ketika itu, dia menjaringkan tujuh gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Awal bulan ini, dia membuat penampilan pertama untuk pasukan senior Flamingo sebelum menandatangani kontrak baharu ini.

Bagaimanapun, jika kedua-dua pihak bersetuju, dia boleh berpindah ke Real antara dua tarikh itu secara pinjaman. – MalaysiaGazette