Proton

PUTRAJAYA – DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) melepaskan pegangan 49.9 peratus saham Proton Holdings Berhad kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely Holding).

Dengan perjanjian yang dicapai itu membolehkan Proton mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin di bawah Geely Holding.

Proton juga boleh menembusi pasaran sedia ada pembuat kenderaan China itu. Ia termasuk pasaran kereta pemanduan kanan di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Proton akan menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam Lotus, kepada Geely Holding, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam segmen sports car.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Johari Abdul Ghani menjadi saksi majlis menandatangani kerjasama strategik antara Proton Holdings Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd di Putrajaya, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, jenama Proton akan kekal dan bakal mengalami pertumbuhan ketara dengan kehadiran rakan strategik baharu ini.

“Sememangnya hasrat kami adalah untuk menghidupkan semula Proton di mata dunia. Ia merupakan kereta nasional yang pertama dan mempunyai sejarah selama 30 tahun.

“Perjanjian ini akan menjadi pemangkin semula satu jenama yang dapat dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia,” kata Syed Faisal.

Geely Holding, pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar utama kenderaan penumpang China.

Firma automotif itu mempunyai operasi di seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio rekabentuk serta lima pusat penyelidikan & pembangunan (R&D).

Usahasama dengan Proton membolehkan Geely bertapak di pasaran ASEAN dan meningkatkan penglibatannya dalam industri pembuatan serta R&D serantau.

Perjanjian itu akan dimuktamadkan pada bulan Julai 2017. – MalaysiaGazette