Syarikat dari China, Geely menguasai 51 peratus kepentingan Lotus manakala EASB yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar memiliki baki 49 peratus saham pengeluar kereta sport itu.

PUTRAJAYA – Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melupuskan 100 peratus kepentingannya di dalam Lotus Advance Technologies Sdn. Bhd. (Lotus) kepada dua buah syarikat, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) dan Etika Auto Sdn. Bhd. (EASB) pada harga 100 juta pound atau kira-kira RM555.96 juta.

Syarikat dari China, Geely menguasai 51 peratus kepentingan Lotus manakala EASB yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar memiliki baki 49 peratus saham pengeluar kereta sport itu.

Menurut carian MalaysiaGazette, EASB adalah sebuah syarikat membaiki kenderaan beralamat di Shah Alam, Selangor.

Ia ditubuhkan pada 1995 bagaimanapun tiada butiran lanjut mengenai syarikat ini.

Dengan membeli 49 peratus kepentingan Lotus, EASB perlu membayar 49 juta pound atau kira-kira RM272 juta kepada Proton.

Pengarah Urusan DRB-Hicom Bhd., Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kedua-dua syarikat berkenaan tidak menjalinkan konsortium untuk membeli Lotus sebaliknya beraksi secara berasingan.

Menyentuh mengenai masa hadapan Proton selepas pelupusan Lotus, Syed Faisal berkata, beliau yakin syarikat kereta nasional itu mampu untuk pulih segera kerana tidak perlu lagi menanggung Lotus.

Jelasnya, sebagai pengeluar kereta sport, Lotus memerlukan dana yang banyak untuk dibangunkan dan kini Proton hanya perlu memberi tumpuan kepada segmen pasarannya sahaja.

“Lotus memerlukan dana yang sangat tinggi dan saya yakin Proton selepas ini akan segera pulih,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Geely Holding Group dan Ketua Pegawai Kewangannya, Daniel Li berkata, syarikat itu yakin untuk mengeluarkan potensi penuh Lotus menggunakan kepakarannya.

“Apabila Proton dan Geely menyertai jenama Kumpulan Geely, kami dapat mengukuhkan kedudukan kami di Asia Tenggara.

“Kami juga mempunyai keyakinan penuh untuk mengeluarkan potensi sebenra kereta-kereta Lotus serta membawa mereka ke satu fasa pembangunan baharu menggunakan pengalaman kami menghidupkan semula Volvo,” katanya.

Untuk rekod, Proton mengambil alih sebahagian besar saham Lotus pada pertengahan tahun 1990-an ketika syarikat milik British itu dilanda masalah kewangan yang meruncing.

Pengambilan alih tersebut adalah untuk memindahkan teknologi Lotus kepada Proton bagaimanapun idea tersebut tidak dapat direalisasikan kerana kedua-dua pengeluar kereta berkenaan mempunyai model perniagaan yang berbeza.

Proton memberi tumpuan kepada pengeluaran massa manakala Lotus adalah sebuah syarikat kereta sport yang berada di dalam segmen mewah dan khusus.- MalaysiaGazette