Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (dua kiri) diberi penerangan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (dua kanan) tentang kualiti air yang telah diproses melalui Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 pada majlis perasmian serta pembukaan Pantai Eco Park yang disempurnakan oleh beliau di Pantai Dalam, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 25 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini merasmikan loji rawatan air kumbahan bawah tanah pertama di Malaysia di Lembah Pantai yang sudah siap dan memulakan operasinya sekaligus menyelesaikan isu bau busuk yang dihadapi penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 juga merupakan yang pertama dibina di Asia Pasifik dengan menggunakan teknologi rawatan bawah tanah.

Lebih menarik lagi, di atas loji kumbahan tersebut juga dibina kawasan rekreasi seluas 12 hektar yang akan dapat dimanfaatkan penduduk setempat untuk beriadah.

“Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 ini merupakan sebuah loji bertaraf dunia, malahan ini merupakan loji bawah tanah pertama di Malaysia dan terbesar di rantau Asia Pasifik,” kata Perdana Menteri semasa majlis perasmian yang diadakan di loji rawatan Pantai Dalam.

Najib berkata kerajaan mengetahui dan memahami perasaan penduduk setempat yang selama ini terpaksa berdepan bau busuk sebelum ini di mana loji terdahulu yang menggunakan teknologi lama menyebabkan ia menghasilkan bau yang tidak disenangi.

“Kerajaan peka dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat setempat telah memutuskan untuk menutup loji kolam tersebut dan digantikan dengan sebuah loji berteknologi tinggi bawah tanah.

“Ini sekaligus mengubah persepsi umum di mana sebelum ini loji rawatan kumbahan adalah tempat yang kotor, berbau dan amat kurang menyenangkan.

“Pada hari ini, kita berkumpul atas loji rawatan kumbahan yang moden, bersih dan merupakan salah satu inovasi yang dilaburkan oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri), Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (dua kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (dua kanan) dan Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) melihat buku Pantai 2 ketika merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 serta pembukaan Pantai Eco Park di Pantai Dalam, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 25 MEI 2017

Menurut Najib lagi, pembinaan loji tersebut membuktikan program transformasi rakyat yang dirancang kerajaan tidak semata-mata tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata tetapi isu kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan.

“Seperti mana saya katakan program tranformasi rakyat kita berpaksikan agenda kesejahteraan rakyat dalam hal ini ianya tidak meliputi hanya pembangunan seperti MRT dan LRT, sekolah, hospital dan perumahan.

“Tapi perkara seperti pembangunan pembentungan ini juga adalah sesuatu yang tidak boleh kita pandang ringan. Justeru kerajaan telah mengambil langkah membangunkan kemudahan ini dengan operasinya ditanggung besar oleh kerajaan,” terang beliau.

Tegas Najib lagi, pembinaan loji tersebut membuktikan kerajaan tidak bercakap retorik politik sahaja tetapi membuktikannya ia mampu menjadi realiti.

“Melalui pembinaan loji di Lembah Pantai ini, terbukti lah bahawa komitmen kerajaan bukan sebagai semata-mata retorik politik tetapi kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menterjemahkannya kepada realiti dimana kapasiti loji ini ia boleh menampung keperluan 1.4 juta penduduk sehingga tahun 2035.

“Malahan, ianya mampu membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan perkhidmatan pembentungan bagi bandar-bandar utama seluruh negara menjelang 2030,” katanya.

Najib juga berharap projek yang sama seperti di Lembah Pantai tersebut dapat diperluaskan ke bandar-bandar lain.

“Saya juga berharap projek seperti ini boleh dijadikan sebagai model untuk diperluaskan ke bandar-bandar lain, jelas sekali teknologi ini adalah yang terkini dan ia bertaraf dunia,” katanya.

Dalam majlis sama, turut hadir adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Projek di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tersebut menelan kos sebanyak RM983 juta.

Ia dibina oleh Syarikat BEWG (M) Sdn Bhd dan ia juga menerapkan potensi teknologi hijau seperti teknologi penuaian air hujan, penggunaan bio-efluen, penggunaan bio-gas (400 KW) dan panel solar (200 KW) untuk menjana elektrik bagi menyokong keperluan operasi loji. – MalaysiaGazette