Seramai 120 anggota penguat kuasa terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang bermula 12.15 tengah malam dengan sasaran utama adalah warga Afrika yang sering diadu oleh orang awam kerana membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.
PUTRAJAYA – Seorang penguat kuasa Imigresen wanita cedera akibat dirempuh warga asing yang cuba meloloskan diri dalam operasi yang dijalankan di sekitar Jalan Desa Aman Puri Kepong, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Jaafar Mohamed berkata selain penguat kuasa wanita yang cedera sehingga pengsan itu, terdapat juga anggota penguat kuasa lain yang luka-luka dan terseliuh dalam insiden tersebut.

Beliau berkata 14 warga asing turut mengalami cedera ringan dalam operasi itu.

“Penguat kuat kuasa wanita yang cedera itu dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seramai 120 anggota penguat kuasa terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang bermula 12.15 tengah malam dengan sasaran utama adalah warga Afrika yang sering diadu oleh orang awam kerana membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.

“Ketika serbuan, sebahagian warga asing bertindak ganas dan cuba bergelut dengan anggota penguat kuasa bagi meloloskan diri.

“Kesemua warga asing yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap,” katanya.

Seramai 156 orang diperiksa dalam operasi itu dan hasilnya 102 orang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen, katanya.

Warga asing yang ditahan terdiri daripada 80 lelaki Nigeria, seorang lelaki Senegal dan tiga lelaki Bangladesh. Turut ditahan masing-masing seorang wanita Indonesia dan Filipina, dua wanita Thailand dan 14 wanita Nigeria.

Antara pendatang asing yang ditahan.

Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun dan akan dihantar ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, disyaki memiliki pas/permit palsu dan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), katanya.

Beliau berkata Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

–BERNAMA