Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (empat kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua kiri) menyaksikan gimik pelancaran oleh Pelumba Basikal Trek Negara, Azizulhasni Awang (tiga kanan) di Majlis Perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2017.
NILAI – Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang bersedia untuk mencurahkan ilmu juaranya kepada bakat-bakat baru dalam sukan berbasikal di negara ini.
Juara dunia acara keirin itu berkata, beliau bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berbasikalnya menerusi program-program pembangunan dalam sukan tersebut.
Beliau yang juga dikenali sebagai Pocket Rocketman turut merakamkan terima kasihnya kepada pihak kerajaan yang menyediakan fasiliti untuk sukan berbasikal bertaraf dunia dan bakal mendapat sijil pengiktirafan tertinggi daripada Union Cycliste Internationale (ICU).
Pelumba Basikal Trek Negara, Azizulhasni Awang berucap pada Majlis Perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2017.
“Masa akan datang saya harap ada banyak program pembangunan dan saya sedia mencurahkan ilmu yang saya ada ni sebanyak mungkin untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat baru.
“Saya percaya di Malaysia ini kita ada banyak bakat-bakat baru sbeagai juara, meskipun berfizikal kecil,” katanya dalam sidang media bersama Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin mengesahkan UCI bakal mengeluarkan sijil kelas satu yang merupakan sijil peringkat tertinggi dalam pensijilan organisasi basikal antarabangsa itu kepada Nilai Velodrome.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berucap pada Majlis Perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2017.
Sijil pengiktirafan tertinggi itu akan diberikan dalam masa terdekat selepas pihak UCI membuat ujian semalam.
“Saya mendapat maklum balas yang positif daripada semua pelumba yang menguji trek ini termasuk juara dunia acara keirin, Azizul dan juga josuah tadi.
“Pihak UCI telah menguji trek ini semalam, dan mereka akan keluarkan sijil kelas satu, iaitu sijil paling tinggi dalam pensijilan UCI. Mereka puas hati dengan trek kita.”
Trek yang menelan belanja sebanyak RM80 juta itu juga turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti asrama kepada atlet bagi program-program pembangunan sukan berbasikal, termasuk acara BMX.- MalaysiaGazette