Lionel Messi

BARCELONA – Nasib tidak menyebelahi bintang bola sepak dunia, Lionel Messi apabila Mahkamah Agung Sepanyol telah mengekalkan keputusan Mahkamah Barcelona yang menjatuhkan hukuman sehingga 21 bulan penjara terhadap dirinya dan bapanya kerana penipuan cukai.

Pemain antarabangsa Argentina itu dan bapanya, Jorge Horacio Messi berdepan tuduhan menipu cukai berjumlah €4.1 juta antara 2007 dan 2009 selepas gagal membayar €10.1 juta untuk hak cipta imej.

Pada 2016, Mahkamah Barcelona mendapati dia bersalah atas kesalahan itu pada 2016 dan berikutan rayuan, Mahkamah Agung telah mengekalkan keputusan asal.

Selain itu, Messi turut dikenakan denda €2 juta, manakala bapanya didenda €1.5 juta.

Namun hukuman terhadap bapanya telah dikurangkan kepada 15 bulan berikutan pemain itu telah memberikan kerjasama dengan membayar semula jumlah wang yang ditipu.

Di bawah undang-undang Sepanyol, hukuman penjara kurang dari dua tahun sering tergantung, mengikut budi bicara mahkamah seperti yang dijangka akan berlaku dalam kes ini melainkan jika terdapat kesalahan terdahulu,

Justeru, Messi dijangka tidak akan dipenjara dan boleh terus bermain bola sepak.

“Saya komited untuk terus bermain bola sepak,” Messi memberitahu Mahkamah Barcelona ketika perbicaraan.

“Saya tidak pernah terfikir bapa dan peguam akan menipu kerana saya percayakan bapa dan peguam yang telah pilih untuk berurusan dengan hal ehwal saya.”

Messi juga memaklumkan dia tidak banyak tahu mengenai urusan kewangan yang dibuat. – MalaysiaGazette