Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sedang melakukan persiapan akhir sebelum memulakan Mesyuarat Peringkat Menteri OPEC dan Bukan OPEC Kedua di Vienna

KUALA LUMPUR – Malaysia percaya keputusan OPEC dan sekutu-sekutunya memanjangkan tempoh pengurangan pengeluaran minyak mentah akan memberi kesan positif kepada ekonomi kedua-dua pengeluar dan pengguna dalam mencapai agenda pembangunan yang mampan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Malaysia yang turut serta di dalam mesyuarat tersebut juga komited untuk melakukan pemotongan pengeluaran 20,000 tong sehari seperti mana yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli lain sebelum ini.

“Malaysia yang mengambil bahagian dalam mesyuarat hari ini antara negara-negara OPEC dan Non-OPEC percaya bahawa harga minyak global yang lebih stabil dan seimbang boleh dicapai dengan merangsang keseimbangan mampan dalam mekanisme permintaan dan penawaran untuk mencapai harga pasaran yang optimum.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan yang dipersetujui hari ini di samping mengesahkan komitmen dengan perjanjian ini dan berharap agar kerjasama ini berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette