Home Ekonomi Bursa Malaysia diramal tinggi

Bursa Malaysia diramal tinggi

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran tinggi minggu depan, disokong sentimen global yang lebih baik dan peningkatan ringgit, dengan indeks penanda aras diunjur meningkat untuk menguji paras 1,800.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, berdasarkan peningkatan ringgit serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan pada 5.6 peratus bagi suku pertama 2017, sentimen pasaran tempatan dijangka kekal positif dan terus menyokong bursa tempatan.

“Ringgit bergerak antara paras tertinggi dalam enam bulan susulan aliran stabil permintaan terhadap mata wang tempatan,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan stabil pada lingkungan julat 1,760 dan 1,770 namun, jumlah dagangan menurun selepas dipengaruhi laporan mengenai serangan berani mati, dipercayai oleh pengganas, di Manchester, England, baru-baru ini.

Pasaran tempatan dijangka meningkat untuk menguji paras 1,800 minggu depan disokong sentimen lebih baik. Nazri Khan berkata, bagaimanapun, Bursa Malaysia akan mengikuti prestasi ekuiti global untuk mendapatkan petunjuk selanjutnya.

Di samping itu, pasaran saham Amerika Syarikat, yang ditutup para paras tertinggi, serta isyarat daripada Rizab Persekutuan untuk menaikkan kadar faedah pada Jun juga membawa sentimen positif kepada pasaran, katanya.

Beliau berkata, penurunan harga minyak mentah juga dijangka sementara. Harga minyak mentah terjejas pada Jumaat selepas dipengaruhi​ ​​​​​​jangkaan​​​​ pengurangan bekalan pada jumlah lebih besar oleh pasaran walaupun negara pengeluar utama minyak bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengurangan itu, katanya.

Harga minyak mentah dijangka stabil di atas paras AS$50 setong minggu depan dan sekali gus akan menetapkan keadaan lebih baik untuk Bursa Malaysia.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan diniagakan bercampur-campur, dengan mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street selain harga minyak mentah.

Berdasarkan minggu ke minggu, FBM KLCI meningkat 4.02 mata kepada 1,772.30, Indeks FBM Emas susut 24.3 mata kepada 12,661.58, Indeks FBMT 100 turun 12.81 mata kepada 12,294.36 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 24.3 mata kepada 12,661.58. FBM 70 susut 168.46 mata kepada 15,145.50 dan FBM Ace merosot 214.83 mata kepada 6,386.88.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 144.54 mata kepada 16,499.86, Indeks Perusahaan naik 13.71 mata kepada 3,275.93 bagaimanapun Indeks Perladangan turun 1.54 mata kepada 8,064.46.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.20 bilion unit bernilai RM14.43 bilion daripada ​​​​​​​16.98 bilion unit bernilai RM15.60 bilion yang dicatat minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 10.45 bilion saham bernilai RM13.56 bilion daripada​​​​​​​ 11.30 bilion saham bernilai RM14.71 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.84 bilion unit bernilai RM239.50 juta daripada 1.96 bilion unit bernilai RM268.02 juta. Bagaimanapun, dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.85 bilion unit bernilai RM536.27 juta daripada 3.70 bilion unit bernilai RM611.29 juta. – MalaysiaGazette