Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat semasa Perasmian Karnival Kewangan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017

MUKADIMAH

Sekian lama berada dalam sektor korporat, sudah tiba masanya saya berehat. Inilah masanya meluang masa dengan keluarga dan membuat sesuatu yang saya minat. Saya mahu meluangkan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. – Zukri Samat

Selepas 11 tahun menerajui Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat akhirnya berundur diri. Beliau yang sepatutnya Bak kata perpatah, yang patah akan tumbuh dan hilang akan berganti. “Cukuplah tu, lebih 30 tahun berkhidmat. Lama sangat,” katanya.

Mengakui melalui saat getir ketika menyelamatkan Bank Islam yang diumpamakan sebagai kapal karam, walaupun payah tetap diharungi juga dan akhirnya membuahkan hasil.

Meninggalkan Bank Islam ketika bank itu berada dalam prestasi yang memberangsangkan, Zukri berharap legasi beliau akan terus membawa Bank Islam ke satu lagi tahap yang membanggakan. Ikuti wawancara MalaysiaGazette bersama Zukri menjelang hari persaraannya baru-baru ini.

Beberapa tahun lalu Datuk Seri menyatakan hasrat untuk bersara, mengapa sekarang baharu menoktahkan rancangan itu?

ZUKRI: Hasrat saya untuk bersara telah disuarakan beberapa tahun yang lalu. Bagaimanapun Lembaga Pengarah telah memina saya berkhidmat sebagai Pengarah Urusan untuk beberapa tahun lagi kerana Bank Islam sangat memerlukan perkhidmatan saya ketika itu. Saya bertahan sehingga tahun lalu. Sekali lagi saya menyuarakan hasrat itu dan Lembaga Pengarah meminta saya menyambung untuk tempoh setahun sahaja lagi bagi memastikan pengganti saya betul-betul bersedia mengambil alih tugas. Dan, insya-Allah pada penghujung Mei ini, hasrat saya termakbul.

Mengapa Datuk Seri mahu bersara sedangkan khidmat masih diperlukan?

ZUKRI: Secara peribadi saya berpendapat seorang CEO tidak seharusnya berada begitu lama di kerusinya. Kita harus memberi peluang kepada muka baharu untuk membawa Bank Islam ke tahap lebih tinggi. Dan, cukuplah perkhidmatan saya selama 11 tahun di Bank Islam. Sebenarnya saya sudah berkhidmat 35 tahun dalam industri kewangan dan perbankan. Tibalah masanya untuk saya berubah angin dan membuat sesuatu berlainan.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat mengenai mesin imbas perkhidmatan sumbangan melalui kad tanpa sentuh yang pertama di Malaysia sambil diiringi Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim (kanan) ketika melawat tapak pameran selepas Perasmian Karnival Kewangan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017

Boleh Datuk Seri kongsikan pengalaman bagaimana Bank Islam berjaya diselamatkan ketika kedudukannya hampir tersungkur?

Saya pada mulanya agak keberatan untuk menerima tawaran Pengarah Urusan Bank Islam kerana kedudukannya ketika itu tidak stabil disebabkan kerugian besar yang dialami pada tahun kewangan 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, di atas permintaan kerajaan yang dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kesedaran untuk cuba menyelamatkan institusi perbankan Islam yang tertua di Malaysia, saya terima tawaran itu pada 9 Jun 2006.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah mengemukakan satu pelan pemulihan semula pada tahun 2006 hingga 2009. Pelan pemulihan merangkumi lima komponen iaitu suntikan modal dan penyusunan semula penyata kewangan, peningkatan sistem infrastruktur teknologi maklumat, program transformasi, rasionalisasi kos dan pembangunan modal insan.

Alhamdulillah berkat usaha gigih, komitmen dan kerjasama semua pihak kami berjaya mencapai sasaran prestasi kelima-lima tonggak pelan tersebut. Setiap komponen kami membuat perubahan strategik ke atas proses dan sistem sedia ada bagi meminimumkan risiko dan meningkatkan sistem penyampaian serta kecekapan operasi.

Di antara kelima-lima komponan, program transformasilah yang terluas. Program ini merangkumi penstrukturan semula seluruh organisasi bermula daripada peringkat Lembaga Pengarah hingga kepada peranan dan tanggungjawab pengurusan kanan, perubahan budaya kerja termasuk pengubahsuaian cawangan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kami. Ini juga membawa kepada penjenamaan semula bank.

Hasil daripada perubahan cara beroperasi dan perniagaan, ia telah membuahkan keuntungan kukuh. Pada akhir tahun kewangan 2007, 12 bulan selepas program transformasi, Bank Islam memperoleh keuntungan berjumlah RM236.7 juta.

Datuk Seri berpuas hati dengan prestasi Bank Islam sekarang?

Alhamdulillah, saya amat berpuas hati, lebih-lebih lagi setelah Bank Islam berjaya mencapai keuntungan berterusan. Pada akhir tahun kewangan 2016, keuntungan sebelum zakat dan cukai ialah RM720 juta. Jumlah asetnya pula ialah RM55.6 bilio, jumlah pembiayaannya RM39.2 bilion dan jumlah depositnya RM46 bilion.

Cawangannya juga berkembang dan pada akhir tahun lalu, cawangan Bank Islam meningkat sebanyak 145 buah. Prestasi Bank Islam memberangsangkan dan mendapat pengiktirafan pemerhati-pemerhati luar. Di antaranya Best Islamic Bank Malaysia oleh The International Banker Asia & Australasia Banking Award 2016, Best Commercial Bank – Malaysia 2016 oleh CPI Financial dan Islamic Bank of The Year – Asia oleh The European Global Banking & Finance Award 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad Holdings Datuk Seri Zukri Samat di Majlis Pelancaran Dana Bumiputra Al-Ansar di Bangunan Taklimat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 2 April 2015.

Bank Islam turut diiktraf oleh Readers Digest ‘The Platinum Trusted Award (Islamic Financial Services) untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Baru-baru ini Bank Islam mendapat penganugerahan ‘Highly Recomended – Best New Product, Service or Innovation Launch – oleh Retail Banker International Asia Trailblazer Summit & Award 2017 dan Best Retail Emerging Technologies oleh The Asset Asian Awards 2017.

Di sebalik pencapaian ini, masih ada ruang untuk Bank Islam mempertingkatkan khidmat cemerlangnya kepada pelanggan. Saya percaya kepimpinan baharu yang akan dilantik akan meneruskan usaha-usaha ini.

Bagaimana Datuk Seri mengukur pemahaman tentang perbankan Islam dan patuh Syariah dalam kalangan rakyat Malaysia?

Pada awal penubuhan Bank Islam 34 tahun lalu, rata-rata bukan Islam merasakan perbankan Islam untuk masyarakat Islam sahaja.

Alhamudillah pada hari ini persepsi itu telah berubah kerana bilangan pelanggan bukan Islam bertambah dari tahun ke tahun, malah di satu cawangan Bank Islam, pelanggan bukan Islam lebih ramai berbanding pelanggan Islam.

Penerimaan masyarakat bukan Islam kepada perbankan Islam semakin jelas apabila pertumbuhan purata perbankan Islam pada tahun 2010 hingga 2016 sebanyak 11.3 peratus dan ini dua kali ganda lebih pesat daripada perbankan konvensional.

Dari segu pasaran pula adalah 28 peratus pada tahun lalu berbanding 20.7 peratus pada tahun 2010. Insya Allah sasaran kerajaan untuk mencapai 40 peratus pada tahun 2020 akan tercapai.

Hari ini perbankan Islam bukan satu alternatif kepada pelanggan membuat pilihan transaksi tetapi ia sebahagian daripada sistem perbankan negara.

Apakah penambahan yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkan Bank Islam pada masa depan?

Antaranya meningkatkan usaha memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan dan menawarkan produk inovatif selari dengan keperluan masa kini. Persaingan dalam industri semakin hebat. Jadi untuk terus berada di antara yang terbaik, Bank Islam perlu mengikut peredaran zaman seperti melengkapkan keperluan pelanggan dalam digital dan arus perkembagan FinTech. Perancangan ini memang sudah ada dalam strategi perniagaan Bank Islam.

Apakah saat-saat getir, mencabar dan manis ketika menerajui Bank Islam?

Mengenang kembali zaman permulaan saya bersama Bank Islam pada tahun 2006 adalah saat-saat yang paling mencabar kerana keadaan Bank Islam ketika itu ibarat kapal karam.

Ke mana saya perlu berlayar ke destinasi dengan melawan arus dan pada masa sama membaiki kapal yang rosak supaya ia sampai ke destinasi dengan selamat.

Alhamdulillah, walaupun ketika itu Bank Islam mengumumkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion untuk tahun kewangan 30 Jun 2006, pelanggan-pelanggan Bank Islam telah berdiri teguh menyokong Bank Islam. Kami berjaya mengelak daripada krisis hilang kepercayaan, jika tidak kesannya amatlah besar.

Dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan, kami dapat meneruskan usaha membangunkan semula Bank Islam melalui pelan pemulihan yang dilancarkan pada Oktober 2006.

Selepas itu, Bank Islam tidak mahu menoleh ke belakang lagi, terus melangkah dengan pelbagai strategi korporat untuk terus bersaing dan mengembalikan kedudukannya sebagai sebuah bank Islam tersohor di negara ini.

Pencapainnya tidak mengecewakan. Inilah menggembirakan saya kerana saya dapat berkongsi kecemerlangan bank ini bersama 4,500 warganya. Mereka turut menikmati kecemerlangan bank ini dengan imbuhan yang menarik.

Bank ini juga berupaya mengeluarkan zakat perniagaan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan ummah. Kami berkongsi zakat bersama golongan asnaf yang memerlukan bantuan melalui inisitif tanggungjawab sosial korporat. Antaranya membina dan membaik pulih 237 kediaman mereka di seluruh negara. Sehingga kini Bank Islam membelanjakan RM6.3 juta untuk inisiatif ini sahaja.

Goodbye Our Hero – gambaran perasaan kakitangan semasa majlis perpisahan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat selepas berkhidmat selama 11 tahun di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2017.

Harapan Datuk Seri kepada legasi?

Saya percaya kepimpinan baharu akan menerajui Bank Islam kelak akan mempunyai tanggunjawab dan semangat kental untuk membawa bank ini ke tahap lebih tinggi. Insya Allah.

Saya menaruh harapan warga Bank Islam meneruskan kecemerlangan prestasi dan terus berkhidmat secara profesional dan mempamerkan sikap integriti yang tinggi setiap masa, seiring dengan jenama dan DNA bank ini sebagai Bank Islam dan kedudukannya sebagai peneraju perbankan Islam. Itu harapan saya.

Apakah rancangan Datuk Seri untuk mewarnai hari-hari persaraan nanti?

Sekian lama berada dalam sektor korporat, sudah tiba masanya saya berehat. Inilah masanya meluang masa dengan keluarga dan membuat sesuatu yang saya minat. Saya mahu meluangkan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. – MalaysiaGazette