Ferrari dijangka menamatkan badi 16 tahun tanpa kemenangan di Litar GP Monaco dalam perlumbaan F1 hari ini. Skysports

MONACO – Pasukan Formula Satu (F1), Ferrari berada dalam posisi terbaik untuk mengakhiri penantian selama 16 tahun menjuarai GP Monaco musim ini.

Pelumbanya Kimi Raikonen meraih petak pertama pada perlumbaan yang akan bermula jam 1 petang waktu tempatan, lapor Skysports.

Rakan sepasukannya, juara dunia empat kali, Sebastian Vettel pula berada di petak di kedua perlumbaan, sekali gus memberi kelebihan kepada Ferrari untuk mencatat kemenangan bersejarah itu.

Pasukan Scuderia dari Itali itu tidak pernah menang litar GP Monaco sejak 16 tahun lalu.

Kali terakhir Ferrari menang di litar itu menerusi Michael Schumacher pada tahun 2001.

Kali terakhir pasukan Scuderia Itali itu menawan pit pertama dan menang di GP Monaco ialah pada atahun 2001. SkySports

Namun dengan enjin baharu, Ferrari yakin merangkul kemenangan bersejarah apabila pasukan itu mendominasi siri latihan kedua dan ketiga dengan merampas posisi pertama dan kedua semalam.

Raikkonen mencatatkan masa terpantas pusingan kelayakan dengan catatan masa 1 minit 12.178 saat dan ia merupakan kali pertama pelumba itu melakukannya sejak 2008 di GP Perancis, selepas 129 perlumbaan.

Manakala Vettel pula mencatatkan masa kedua terpantas dengan catatan 1 minit 12.221 saat untuk memulakan perlumbaan di petak kedua.

“Ia tempat terbaik untuk memulakan perlumbaan hari ini tetapi ia tidak menjamin apa-apa ketika ini. Kita mempunyai dua kereta di petak hadapan sekali dan yakin membawa kemenangan yang dinantikan selama ini,” kata Raikkonen.

Sementara itu, Vettel kecewa dengan prestasinya semalam.

“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Saya sepatutnya melakukan yang terbaik kerana kereta dalam keadaan baik tetapi kesilapan saya beri kesan,” keluhnya lagi.

Kata Vettel, mereka mempunyai pengalaman luas dan menganggap adalah penting untuk mendahului pada selekoh pertama.

Katanya, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan kemenangan memihak kepadanya.

Vettel dan Raikkonen akan memulakan perlumbahan 10 tempat di hadapan Lewis Hamilton selepas pelumba Britain, Lewis Hamilton terkeluar pada sesi latihan kelayakan kedua. – MalaysiaGazette