Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit diramal kekal kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kecenderungan meningkat minggu depan berikutan harga minyak global yang lebih tinggi, kata firma penyelidikan.

Naib Presiden FXTM Corporate Development/Market Research, Jameel Ahmad berkata, ringgit mendapat sokongan berikutan keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran selama sembilan bulan lagi, yang akan menyokong selera risiko dan mata wang pasaran membangun.

“Saya menjangka prestasi mata wang tempatan akan bergerak ke arah pemulihan berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama hari ini dengan menambah ia sebahagiannya disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah AS bulan depan telah pun diambil kira oleh pasaran kewangan.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.2670 dan 4.3350 berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan itu ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0844/0886 daripada 3.1056/1114 Jumaat lepas dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8452/8496 daripada 3.8723/8782 sebelum ini.

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.4912/4955 daripada 5.6177/6247 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7859/7897 daripada 4.8176/8245 Jumaat lalu. – MalaysiaGazette