Kesan lebam akibat dipukul jelas kelihatan pada belakang badan dan lengan bekas pelajar Tingkatan Dua MRSM Alor Gajah.

KUALA LUMPUR – Kes seorang pelajar Tingkatan 2 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang dibelasah oleh pelajar-pelajar senior sedang disiasat di bawah Sekyen 147 Kanun Keseksaan.

Jurucakap IPD Alor Gajah memberitahu, setakat ini polis telah mengenal pasti 17 suspek yang berkait dengan kes tersebut.

Mereka merupakan pelajar Tingkatan 3 dan 4 MRSM berkenaan.

MalaysiaGazette difahamkan siasatan itu bukan sahaja membabitkan pelajar berkenaan tetapi juga seorang lagi rakannya, juga pelajar Tingkatan 2.

Menurut laporan kes, mangsa telah dipukul oleh pelajar Tingakatan 3 dan 4 di Asrama Putera pada pukul 4.30 pagi pada 6 Mei lalu.

Kejadian itu berlaku di bilik asrama seorang pelajar Tingkatan 3.

Mangsa mendakwa telah ditumbuk, disepak dan dipukul menyebabkan dia mengalami kecederaan lebam di belakang badan, kedua-dua belah siku, sakit dada, perut dan kepala.

Dalam laporan berkenaan, mangsa mendakwa tidak tahu punca dipukul tetapi mendakwa kerap dibuli.

Kelmarin MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar Tingkatan 2 dibelasah oleh lebih 10 pelajar senior tanpa belas kasihan.

Kejadian itu bermula selepas dia disuruh memasak mee Maggi dan mencari air kotak untuk diberikan seorang pelajar Tingkatan 5.

Lanjutan kejadian itu, mangsa telah dikejutkan oleh seorang pelajar Tingkatan 3 kira-kira pukul 3 pagi dan diarahkan ke sebuah bilik lain.

Setibanya dia di bilik itu, mangsa melihat terdapat ramai pelajar lain, sebelum beberapa orang pelajar dalam bilik tersebut bertindak memukulnya. – MalaysiaGazette