Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO dan para perwakilan menyanyikan lagu UMNO sempena Perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 01 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, masa depan UMNO sudah tiada.

“Rakyat mengenang era Mahathir sebagai era teragung dan bermaruah dalam sejarah negara, Mahathir memberikan pengertian kepada kuasa rakyat di era pemerintahannya.

“Semua ini hanya tinggal kenangan. Telah berlalu suatu zaman bersejarah emas di bawah kepimpinan UMNO yang berintegriti, dihormati dan dikagumi, dari Tunku sampai ke Mahathir.

“Dan tiba kepada zaman keruntuhan di bawah pimpinan UMNO yang sedang menghadapi masalah besar untuk menebus kembali maruah bangsa, agama dan negara.

“Masa depan UMNO sudah tidak ada lagi kerana jasanya yang tersemat di hati rakyat telah terpadam dan tidak ada lagi bersinar tugu-tugu yang mungkin boleh mengingatkan mereka untuk meneruskan sokongan kepada UMNO,” katanya dalam blog hari ini.

Beliau yang popular dengan panggilan Zam turut mempersoalkan cara kerajaan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat setelah media-media utama kerajaan tidak lagi ditonton dan terjual.

Tambah Zam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu menjadi Bapa Demokrasi Malaysia yang mahu memansuhkan Akta Hasutan dan Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Walau bagaimanapun, ia tidak disambut baik dalam kalangan ahli politik pembangkang, jelasnya.

“Di Parlimen, walaupun diperlekehkan oleh anggota pembangkang dan anggota kerajaan sendiri yang liberal, anak Kelantan (Datuk) Ibrahim Ali nyaring menentang pemansuhan ISA dan Akta Hasutan walaupun beliau pernah menjadi mangsanya.

“Perkasa pimpinannya juga secara diam-diam menentang cadangan Model Ekonomi Baru yang mahu melupuskan semangat DEB supaya terlihat adil pada semua kaum mengikut penilaian pemodal asing dan bukan Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette