Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas mahu akhbar The Star dikenakan tindakan yang tegas berikutan sengaja menyiarkan gambar umat Islam bersolat Tarawih dengan tajuk utama muka hadapan akhbar berkenaan tertera ‘Malaysian Terrorist Leader’ yang membawa maksud Malaysia sebagai ketua kepada kumpulan pengganas.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan akhbar berkenaan benar-benar telah menguris perasaan umat Islam yang mengerjakan solat Tarawih sepanjang Ramadan ini.

“Ia seolah menggambarkan solat Tarawih yang menjadi amalan tahunan umat Islam seluruh dunia adalah punca kepada keganasan.

“Tindakan disiplin perlu diambil terhadap Ketua Pengarang The Star yang gagal mengambil kira sensitiviti gambar seumpama ini,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata The Star perlu segera memohon maaf kepada umat Islam atas sikap yang tidak cermat dalam menjaga sensitiviti umat Islam.

Malah pihak berkuasa menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga disaran mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada media yang akhir-akhir ini dilihat tidak sensitif dengan isu-isu agama.

Semalam akhbar The Star menerusi muka depannya dilihat sebagai tidak menghormati hari pertama bulan Ramadan tahun ini dengan menyiarkan gambar umat Islam menunaikan solat terawih dengan tajuk utama ‘Malaysian Terrorist Leader’.

Bagaimanapun portal online Mstar telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf di atas kesilapan berkenaan hari ini.

“Amalan ini telah dilakukan sejak lebih sedekad lalu. Bagaimanapun tahun ini, terdapat kebetulan yang tidak bernasib baik apabila berita utama adalah mengenai ketua pengganas, yang membawa kepada banyak kaitan dengan tajuk berita dan gambar, yang mana akhbar tidak berniat untuk berbuat demikian.

“Berdasarkan pengalaman lalu, The Star seharusnya lebih arif dan sensitif terhadap perasaan pembaca kami yang beragama Islam. Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf di atas kesilapan pertimbangan di pihak kami,” katanya. – Malaysia Gazette